APM bantu pembantu perubatan redah banjir beri rawatan warga emas strok

APM bantu pembantu perubatan redah banjir beri rawatan warga emas strok

am@hmetro.com.my

Machang: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terpaksa membawa pembantu pegawai perubatan ke rumah seorang warga emas yang mengalami angin ahmar di Kampung Temangan, di sini bagi mendapatkan rawatan susulan.

Ia selepas laluan rumahnya sejauh satu kilometer untuk ke Klinik Kesihatan Temangan dinaiki air setinggi 0.5 meter.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Machang, Leftenan (PA) Ahmad Suhaizi Ahmad Suhaimi berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan daripada orang awam jam 10.01 pagi berhubung seorang pesakit yang memerlukan bantuan segera.

Katanya, jarak dari PKOD APM Machang ke lokasi kejadian kira-kira 20 kilometer.

“Seramai 10 anggota termasuk seorang pegawai bersama pembantu pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Temangan ke lokasi dan terpaksa meredah air setinggi kira-kira 0.5 meter sejauh satu kilometer kerana laluan ke rumah pesakit dinaiki air akibat banjir.

“Mereka tiba di kediaman pesakit, Mohd Yusuf Awang, 70, jam 10.50 pagi.

“Warga emas ini mengalami angin ahmar dan memerlukan rawatan susulan, namun tidak dapat hadir ke temujanji di klinik kerana laluan ke rumahnya terjejas akibat banjir,” katanya.

Katanya, pesakit diberikan rawatan selama lebih satu jam dan operasi tamat jam 12.01 tengah hari.

“APM sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan kemanusiaan dan bantuan kecemasan demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top