Pemain Brazil mantapkan jentera serangan KRW 

Pemain Brazil mantapkan jentera serangan KRW 

sukan@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kelantan Red Warriors (KRW) FC terus agresif memantapkan pasukan dalam baki saingan Liga A1 dengan mengikat import Brazil, Wesley Leal Barnaske, hari ini.

Wesley, 26 tahun akan memantapkan pasukan di posisi penyerang bergandingan dengan import sedia ada, Emmanuel Mbarga.

Presiden KRW FC, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pasukan akan memenuhi kuota tiga import dengan pengambilan Mbarga, Wesley dan seorang lagi import yang akan datang.

Katanya, dalam pada masa yang masa, pihaknya juga tidak mengenepikan kualiti pemain tempatan dengan memperkenalkan bakat baharu termasuk dengan pengambilan satu atau dua pemain tempatan bagi saingan pusingan kedua liga berkenaan.

“Kami dapat import baru dari Brazil yang menepati cita rasa kami, ramai yang nak bermain (dengan pasukan KRW) tetapi bukan kata tak bagus, cuma kami lihat pada cita rasa dan taktikal.

“Untuk perlawanan sebelum ini, peminat sendiri dapat melihat apa yang kami sudah lakukan (banyak menang), cuma kami mahu peminat bagi sokongan, datang ke stadium untuk beri kekuatan kepada pasukan,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Pengenalan Import baharu dan bas rasmi pasukan, Ekspres Perdana di Kampung Raja, Teluk Mesira di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perdana Group, Wan Faiz Wan Hamat, pemilik kelab KRW FC, Mohd Nazif Ab Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif KRW FC, Wan Mohd Fajarulekram Wan Mokhtar.

Muhamad Zaki berkata, kehadiran pemain berketinggian 192 sentimeter dengan berat 76 kilogram itu diharap dapat mempertajamkan lagi jentera serangan pasukan yang kini berada di kedudukan ke-enam liga.

Beliau berkata, pasukan berharap menang dalam dua perlawanan akhir bulan ini menentang Imigresen FC II pada Sabtu dan bertemu Bunga Raya FC pada 28 Disember ini bagi merebut slot layak ke saingan Piala Malaysia 2025/26.

Terdahulu, Muhamad Zaki menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Ekspress Perdana untuk tajaan bas rasmi pasukan bernilai RM1.2 juta.

Pasukan ini akan mempunyai pengangkutan rasmi bas eksekutif dua tingkat dengan kapasiti 45 tempat duduk VIP dengan ciri keselamatan pemasangan peranti penghad kelajuan (SLD) 88 kilometer sejam, lokasi sistem kedudukan geografi (GPS) dan pemandu berpengalaman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top