Dortmund: Jaringan Julian Brandt dan Maximilian Beier memastikan Borussia Dortmund mencatat kemenangan 2-0 ke atas Borussia Moenchengladbach dalam aksi mendebarkan di laman sendiri, sekali gus melonjak ke tangga kedua Bundesliga.
Brandt meletakkan Dortmund di depan menerusi jaringan awal, namun tuan rumah sekali lagi bergelut mempertahankan kelebihan, selepas beberapa kali melepaskan mata daripada kedudukan menang musim ini.
Pemain tengah remaja Gladbach, Wael Mohya, hampir menyamakan kedudukan apabila memaksa penjaga gol Dortmund, Gregor Kobel, bertindak tangkas 10 minit sebelum tamat.
Kemenangan itu menyaksikan Dortmund kini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Bayern Munich, dan mendahului tiga mata di depan pasukan tangga ketiga, RB Leipzig, yang boleh kembali ke tempat kedua jika menewaskan Bayer Leverkusen esok.
Dortmund turun ke perlawanan ini dengan rekod cemerlang, memenangi 18 daripada 19 pertemuan terakhir di laman sendiri menentang Gladbach.
Pertahanan tengah Niklas Suele, yang membuat penampilan liga kedua musim ini, mencipta gol pembukaan apabila hantaran lintangnya ditanduk oleh Brandt pada minit ke-10, jaringan keempatnya dalam tiga perlawanan terakhir.
Sering dikritik dari aspek kecergasan dan kerja keras, Suele kemudian tampil cemerlang menafikan percubaan Florian Neuhaus lewat separuh masa pertama.
Penyerang Dortmund, Serhou Guirassy, yang hanya menjaringkan satu gol dalam 10 perlawanan liga terakhir, menyangka dia menemui sasaran sejurus selepas rehat, namun jaringannya dibatalkan kerana ofsaid.
Mohya, 16 tahun, yang membuat penampilan sulung senior minggu lalu, hampir menyamakan kedudukan sebaik masuk sebagai pemain gantian, tetapi percubaannya ditepis Kobel ke atas palang.
Pada minit ketujuh masa kecederaan, Beier menerima umpanan rakan gantian Fabio Silva sebelum menolak masuk dari jarak dekat untuk menutup perlawanan buat Dortmund.
© New Straits Times Press (M) Bhd




