mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Polis masih menunggu laporan kimia dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) susulan penemuan janin bayi di dalam sebuah lori sampah di sekitar Bukit Jalil, di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya belum lagi menerima laporan kimia dan DNA janin bayi terbabit.
“Siasatan masih berjalan dan sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur, 0321159999, Hotline IPD Cheras, 0392845050 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Elfi di talian 01110048773.
“Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan kepada mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu Harian Metro melaporkan penemuan objek dipercayai jasad bayi di dalam sebuah lori sampah menggemparkan penduduk di sekitar Bukit Jalil, di sini, 11 Disember lalu.
Dua video berdurasi lapan dan 14 saat tular di media sosial memaparkan objek dipercayai mayat bayi ditemui dalam timbunan sisa dalam sebuah lori sampah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




