am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Golongan berusia 21 hingga 30 tahun direkodkan sebagai mangsa tertinggi terjebak penipuan jenayah telekomunikasi bagi tempoh Januari sehingga November lalu.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman berkata, pihaknya merekodkan sebanyak 28,698 kes jenayah telekomunikasi di seluruh negara dengan jumlah kerugian mencecah RM715 juta.
Katanya, analisis mengikut pecahan usia menunjukkan golongan berumur 21 hingga 30 tahun mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 8,789 mangsa.
“Kumpulan usia 31 hingga 40 tahun mencatatkan jumlah mangsa kedua tertinggi iaitu 6,825 mangsa diikuti golongan berusia 41 hingga 50 tahun membabitkan 4,977 mangsa.
“Selain itu, seramai 3,382 individu berusia 51 hingga 60 tahun turut dilaporkan menjadi mangsa, manakala 2,763 orang direkodkan dalam kalangan warga emas berusia lebih 60 tahun.
“Kumpulan berusia 15 hingga 20 tahun pula mencatatkan 1,962 mangsa,” katanya dalam kenyataan dikongsikan menerusi Facebook JSJK hari ini.
Menurutnya, situasi itu membuktikan jenayah telekomunikasi memberi kesan kepada semua lapisan umur dan orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk penipuan.
Selain itu, orang ramai yang menjadi mangsa boleh membuat laporan kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997, membuat semakan melalui portal Semak Mule serta melaporkan kejadian kepada polis untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




