Pengacara popular Singapura, Roslan Shah, 55, menjelaskan penglibatan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang dikenali sebagai Mass Factorz adalah atas kehendaknya sendiri, bukannya undangan daripada pihak produksi atau dirinya.
Menurut Roslan yang mesra disapa Cik Lan, dakwaan yang mengatakan dirinya mengeksploitasi OKU sebagai bahan tontonan dalam program Night Walk terbitan Mangobossku yang bersiaran di YouTube MBK Film Studio adalah tidak benar sama sekali.
“Sejujurnya, saya sendiri berhati-hati mahu mengundang individu wanita ke program Night Walk kerana sebelum ini, episod awal program yang melibatkan Datuk Seri Vida bersama saya dikritik penonton.

“Untuk Mass pula, dia sendiri yang mahu muncul dalam program Night Walk. Saya dan Mangobossku tidak pernah menawarkan dia untuk sertai program ini, sebaliknya ia datang daripada permintaannya sendiri.

“Memandangkan keadaan Mass begitu, saya dan Mangobossku berbincangl. Kami hormati dia kerana kita sendiri tidak boleh memandang rendah seseorang OKU. Saya juga tetapkan syarat, jika mahu bersama dalam program, saya tidak akan menyentuhnya,” katanya.
Cik Lan berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media OhBulan! Paling Viral Online yang berlangsung di Balai Berita, Bangsar, kelmarin.
Dalam acara anugerah terbabit, Cik Lan menjadi artis undangan dan membuat persembahan, menyampaikan single terbaharunya yang berjudul Hantu Hantu Hantu.

Menurut Cik Lan lagi, pada peringkat awal, dia dan pihak produksi sebenarnya berasa berat hati untuk menerima penyertaan Mass kerana bimbang berdepan kecaman netizen.
Namun, Roslan menganggap penyertaan tersebut membawa rezeki kepada Mass apabila wanita berkenaan menerima bayaran SGD2,000 (sekitar RM6,300) selepas berjaya menamatkan cabaran selama satu jam dengannya di lokasi penggambaran yang berlangsung di kawasan perkuburan India.
“Sebenarnya saya dan produksi pada mulanya tidak mahu terima sebab dia wanita dan juga OKU, takut orang kecam.
“Tapi bagi saya ini rezekinya. Dia dibayar SGD2,000 selepas habiskan cabaran selama satu jam. Dia sendiri kata, bayaran itu ingin diberikan kepada ayahnya,” jelasnya.
Roslan turut memaklumkan pihak produksi menyediakan surat perjanjian yang ditandatangani Mass sebelum sebarang rakaman dilakukan.
“Ini kali pertama saya bersama peserta OKU. Kami juga risau kalau reaksi netizen Malaysia dan Singapura mungkin menjatuhkan dia.
“Sebelum rakaman, kami sediakan surat perjanjian untuk dia tandatangan. Jadi jika ada apa-apa risiko, itu adalah keputusannya untuk menyertai, bukan tanggungjawab pihak kami,” katanya.
Pada November lalu, penyertaan Mass dalam program Night Walk mengundang pelbagai reaksi, termasuk tuduhan yang mengatakan Roslan menggunakan individu OKU semata-mata untuk menarik tontonan.




