Seoul: Seramai 26 warga Korea Selatan ditahan dalam satu operasi bersama polis di sebuah pusat penipuan di pekan sempadan Kemboja-Vietnam minggu lalu, manakala seorang rakyat Korea Selatan berjaya diselamatkan, menurut polis pada Ahad, lapor Agensi Berita Yonhap.
Menurut Agensi Polis Kebangsaan (NPA), pasukan bersama Korea Selatan dan Kemboja pada Khamis menyerbu lokasi berkenaan di Wilayah Mondulkiri di timur Kemboja berhampiran sempadan Vietnam, sebelum menahan 26 warga Korea Selatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan.
Seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang dipercayai dikurung dan diseksa di pusat berkenaan turut diselamatkan.
Serbuan melibatkan 40 pegawai polis Kemboja dan empat pegawai polis Korea Selatan, menurut NPA.
Tindakan itu dibuat ketika Korea Selatan meningkatkan usaha membanteras jenayah yang menyasarkan rakyatnya di Kemboja, termasuk penipuan dalam talian susulan kes seorang pelajar kolej Korea Selatan yang diseksa hingga maut selepas diperdaya ke pusat penipuan di negara Asia Tenggara itu pada Ogos lalu.
Sejak awal bulan ini, pasukan bersama Seoul-Phnom Penh telah menahan 92 suspek penipuan dan menyelamatkan dua mangsa warga Korea Selatan.
“Melalui kerjasama rapat antara pihak polis kedua-dua negara, kami akan memperhebatkan tindakan terhadap jenayah penipuan dalam talian dan penipuan suara,” kata seorang pegawai NPA.
Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung turut memuji pegawai yang terlibat dalam operasi itu dan berikrar untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi membanteras jenayah sedemikian.
“Saya menghargai dedikasi mereka dalam melaksanakan tugas meskipun berdepan keadaan berbahaya dan mencabar di wilayah asing.
“Kami akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa undang-undang di seluruh dunia bagi membanteras jenayah terancang rentas negara, termasuk penipuan dalam talian dan penipuan suara,” katanya dalam satu hantaran di X.
© New Straits Times Press (M) Bhd




