Jeddah: Pilihan utama kejohanan, Learner Tien melakar pencapaian terbesar dalam karier profesional mudanya apabila menewaskan pilihan kedua dari Belgium, Alexander Blockx 4-3 (4), 4-2, 4-1 untuk menjuarai Next Gen ATP Final di Jeddah, Arab Saudi.
Tien, pemain berusia 20 tahun dari California, adalah antara lapan pemain yang layak ke kejohanan berprestij itu yang menghimpunkan bintang muda berusia 20 tahun ke bawah.
Pada edisi tahun lalu, dia muncul naib juara selepas tewas di final kepada wakil Brazil, Joao Fonseca.
Dalam saingan peringkat kumpulan, Tien menamatkan kempen dengan rekod 2-1 dan layak ke separuh akhir menerusi kelebihan perbezaan set selepas memenangi lapan set berbanding tujuh set oleh pencabar lain.
Pada aksi separuh akhir Sabtu lalu, Tien menewaskan rakan senegara, Nishesh Basavareddy 4-2, 4-1, 4-3 (3) sebelum berdepan Blockx di final.
Dalam perlawanan penentuan itu, Tien kekal tenang meskipun diasak dengan tujuh ace oleh Blockx, selain mempamerkan servis pertama hampir sempurna apabila memenangi 29 daripada 34 mata, bersamaan 85.3 peratus.
“Saya sangat gembira,” kata Tien mengenai musimnya yang turut menyaksikan dia meraih kemenangan profesional pertama di Moselle Open, Perancis.
“Saya berjaya capai banyak sasaran yang saya tetapkan tahun ini. Senarai sasaran saya agak panjang dan kebanyakannya berjaya dicapai. Saya benar-benar gembira.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




