Medina, bapa selamat jalani pembedahan hati

Medina, bapa selamat jalani pembedahan hati

am@hmetro.com.my

Melaka: Kanak-kanak, Nur Asyura Medina yang menghidap penyakit Biliary Atresia sejak lahir, serta bapanya, Muhammad Ikmal Haziq Mazlan, 24, selamat menjalani pembedahan pemindahan hati hari ini.

Ibu kepada kanak-kanak itu, Norfazlinah Ibrahim, 28, berkata pembedahan bermula pada jam 9 pagi itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Menurutnya, suaminya yang mendermakan sebahagian hati untuk anak mereka dimasukkan ke bilik bedah terlebih dahulu pada jam 9 pagi sebelum selesai menjalani pembedahan kira-kira empat jam kemudian di sebuah hospital di Shanghai, China.

“Selepas itu, Medina pula menjalani pembedahan selama hampir tiga jam.

“Alhamdulillah, prosedur tersebut berjaya dilaksanakan dengan baik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, anak tunggal mereka kini masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pemantauan rapi sehingga keadaannya benar-benar stabil sebelum dipindahkan ke wad biasa.

Tambah Norfazlinah, walaupun suaminya sudah sedar namun keadaannya masih lemah dan memerlukan rehat serta pemantauan lanjut.

Dalam pada itu, dia merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak henti-henti mendoakan kesejahteraan mereka sekeluarga.

“Saya menghargai setiap doa yang dititipkan dan berharap mereka berdua diberikan kesembuhan sepenuhnya serta dijauhkan daripada sebarang komplikasi serius,” katanya lagi.

Semalam Harian Metro melaporkan kanak-kanak berusia dua tahun empat bulan itu dijadual menjalani pembedahan pemindahan hati pada 9 pagi di Hospital Shanghai, China.

Medina tiba di China pada Khamis lalu bersama keluarganya sudah mengikuti prosedur pemeriksaan awal sebagai persiapan pembedahan.

Sebelum ini media melaporkan Ketua Pemuda UMNO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menderma RM120,000 simpanan miliknya untuk menunaikan haji bersama isteri bagi pembedahan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top