bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) menjangkakan pendapatan penghantar makanan akan terkesan dengan pengumuman operasi kedai makan yang dihadkan kepada jam 8 pagi hingga 8 malam, bermula Selasa ini.
Presidennya, Zulhelmi Mansor, berkata, waktu puncak bagi tempahan penghantaran biasanya dibuat pelanggan pada waktu makan tengahari dan waktu malam.
“Kami jangkakan akan berlaku pengurangan pendapatan seperti mana terjadi sebelum ini ketika kerajaan mengehadkan operasi kedai makan sehingga jam 8 malam sahaja.
“Tambahan lagi, kini lebih ramai kakitangan awam dan swasta akan bekerja daripada rumah jadi kebanyakannya pasti memilih memasak sendiri daripada membuat tempahan makanan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Zulhemi berkata, PENGHANTAR memahami sekatan tambahan PKP 3.0 dibuat bagi mengurangkan kes COVID-19 tetapi pada masa sama berharap ia menjadi langkah berkesan dalam menangani peningkatan kes, supaya keadaan boleh segera kembali normal.
“Mahu tidak mahu, kami kena akur juga dengan prosedur operasi standard (SOP) tambahan PKP 3.0 ditetapkan kerajaan tetapi berharap ia memberi impak besar dalam mengurangkan kes.
“Jika peningkatan kes berlanjutan, ia akan terus memberi kesan kepada golongan penghantar makanan.
“Tambahan lagi kini, penghantar makanan bukan setakat menjadi pekerjaan separuh masa sebaliknya dijadikan pekerjaan utama selepas ramai hilang pekerjaan susulan wabak COVID-19 sejak setahun lalu,” katanya.
Selain itu, Zulhelmi juga berharap, kerajaan akan menggariskan SOP ketat untuk kebaikan penghantar makanan termasuk menetapkan supaya pesanan dihantar ke flat kos rendah diambil di tingkat bawah sahaja.
“Kami harap penghantar makanan tidak lagi perlu naik ke atas. Ini bagi mengelak peningkatan kes berikutan kebolehjangkitan COVID-19 yang semakin tinggi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




