Rabat: Ketua jurulatih Maghribi, Walid Regragui, menafikan laporan mendakwa pertahanan Nayef Aguerd mengalami kecederaan, sambil menegaskan pemain itu berada dalam keadaan cergas dan bersedia untuk aksi Kumpulan A Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) menentang Mali.
“Siapa kata Aguerd cedera? Dia berlatih seperti biasa dan tidak ada sebarang masalah,” kata Regragui kepada media.
Bagaimanapun, Regragui mengesahkan kapten pasukan, Romain Saiss, terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan otot ketika aksi pembukaan menentang Comoros.
Dalam perkembangan lain, pertahanan kanan Achraf Hakimi yang baru dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Afrika, kini dalam proses pemulihan daripada kecederaan buku lali dialami bersama Paris Saint Germain bulan lalu dan berkemungkinan diturunkan secara terhad.
“Hakimi berada dalam keadaan baik dan kami akan membuat keputusan terbaik untuknya,” kata Regragui.
Jurulatih itu turut memuji pertahanan muda berusia 19 tahun, Abdelhamid Ait Boudlal, yang disifatkannya sebagai bakat besar.
“Saya sudah memantaunya sejak beberapa tahun lalu. Saya memanggilnya ke skuad setahun setengah lalu ketika dia masih pemain simpanan di Rennes dan ramai mengkritik keputusan itu. Hari ini semua memujinya, itu menunjukkan visi kami adalah jangka panjang,” katanya.
“Kami tidak mahu membebankan pemain muda. Kami akan menggunakannya pada masa yang tepat. Sama ada dia bermula sebagai kesebelasan utama atau dimasukkan kemudian, kita akan lihat,” katanya.
Ait Boudlal pula menyuarakan keyakinan terhadap pasukan dan pendekatan jurulatih.
“Kami sedar tanggungjawab yang digalas. Setiap perlawanan sukar dan memerlukan tumpuan penuh. Kami mendengar arahan jurulatih dan mahu mempamerkan prestasi yang memenuhi jangkaan penyokong,” katanya.
Maghribi membuka kempen Afcon dengan kemenangan 2-0 ke atas Comoros dan akan mengesahkan kelayakan ke pusingan seterusnya sekiranya menewaskan Mali di Stadium Prince Moulay Abdellah.
“Ia akan menjadi perlawanan sukar menentang pasukan yang kuat,” tambah Regragui.
© New Straits Times Press (M) Bhd




