am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, bakal mencipta satu lagi detik bersejarah dalam industri hiburan tanah air menerusi persembahan mega Konsert Legacy 30 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Januari depan.
Menurut Siti, dia juga menjanjikan persembahan bertaraf antarabangsa dalam konsert terbesar dan pembuka tirai 2026 dengan jangkaan penonton seramai 63,000 orang.
“Saya juga bukan untuk menandingi sesiapa dengan konsert mega ini tetapi lebih kepada meraikan peminat yang menyokong selama 30 tahun dalam industri seni.
“Kapasiti konsert kali ini juga lebih besar berbanding di Arena Axiata yang memuatkan seramai 15,000 penonton kali ini, seramai 2,000 tenaga produksi juga terbabit dalam konsert mega ini,” katanya.
Berkongsi perasaannya pula, kata Siti dia mengakui tetap berasa gementar walaupun sudah sering mengadakan konsert berskala besar.
“Semakin dekat tarikh konsert, saya berasa semakin berdebar tetapi pada masa sama teruja untuk memberikan yang terbaik pada konsert mega nanti.
“Dalam tempoh dua minggu saja lagi menjelang konsert, saya kini sibuk buat persiapan akhir dari segi stamina dan tarian untuk mencantikkan lagi persembahan nanti. Saya juga mengelakkan minuman berais sejak menjelang sebulan konsert.
“Selain itu, saya akan mengadakan sesi latihan dengan barisan pemuzik dan artis undangan pula selepas ini,” katanya.
Siti berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung di Hemisfera Luxury Sky Hall, Menara Kuala Lumpur di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Siti akui berdepan tekanan dengan tanggapan tinggi semua orang untuk memberikan yang terbaik pada penganjuran konsert terbesarnya itu.
“Bohonglah kalau kita tak berasa tekanan kerana semua konsert yang saya buat akan ada tekanan kerana semua orang nak buat yang terbaik.
“Saya tak nak buat kerja ‘cincai’ sebab ini konsert sempena 30 tahun dalam industri seni pastinya saya dan ‘team’ mahu berikan yang terbaik mengikut kemampuan.
“Saya banyak belajar dari komposer dan penulis lirik terkenal, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah untuk tampilkan kelainan dan elemen kejutan setiap kali buat konsert,” katanya.
Ditanya pemilihan artis jemputan pula, Siti berkata, barisan artis yang dipilih adalah mereka yang pernah bekerjasama dengannya.
Empat artis terbabit ialah penyanyi terkenal dari Indonesia iaitu Cakra Khan, Hafiz Suip, Noh Salleh dan anak saudaranya, Umairah sekali gus bakal menyerikan lagi persembahannya nanti.
“Saya akan menyampaikan rangkaian lebih 30 lagu termasuk secara medley dan duet bersama artis jemputan.
“Ada juga lagu yang beri kejayaan dan kenangan yang akan saya sampaikan menerusi empat segmen dalam durasi persembahan selama tiga jam itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




