Angah tiada masalah dengan anggota PB, hanya berkurung di rumah

Angah tiada masalah dengan anggota PB, hanya berkurung di rumah

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain gitar yang juga ketua kumpulan Projektor Band (PB), Razif Zainuddin atau Angah mendedahkan tidak berdepan masalah dengan anggota kumpulannya sehingga ada ura-ura mahu meninggalkan kumpulan terbabit.

Angah berkata, cuma keadaan mentalnya kurang stabil sejak beberapa bulan lalu dan dia sendiri tidak tahu punca sebenarnya yang berlaku.

“Saya akui dah lama tak pergi ke syarikat rakaman MVM dan hanya berkurung dalam rumah. Jadi bila tiba-tiba nak kena pergi sana, saya jadi rasa takut dan sebagainya.

“Tak tahulah apa masalahnya. Contohnya sebelum ini ada kawan-kawan dalam rumah sewa saya, mereka keluar pergi karaoke dan saya turut serta.

“Tapi untuk sekarang ini dalam tiga bulan, saya banyak duduk rumah dan menyendiri dalam bilik. Tak tahulah saya nak cakap ‘introvert’ atau apa sebab saya tak pernah macam ini sebelumnya,” katanya kepada Harian Metro.

Angah berkata, bukan setakat itu sahaja, malah pengurusan atasan MVM yang menghubunginya untuk berjumpa juga tidak dilayan olehnya.

“Saya jadi susah nak respon dan suka tinggal seorang diri. Lepas itu bila saya keluar dan tengok tempat ramai orang, perasaan saya jadi semak dan lain macam.

“Jadi sekali lagi saya nafikan ada masalah dengan anggota PB. Ia hanya membabitkan masalah dalaman saya sendiri dan tidak berkaitan dengan sesiapa.

“Cuma sekarang PB ada lagu baru ciptaan saya berjudul Maafkanlah Aku. Masa ‘shooting’ muzik video pun saya tak datang. Jadi vokalis kami Haziq tak nak keluarkan muzik video tanpa saya,” katanya.

Angah berkata, dia sudah membuat temujanji untuk berubat dengan seorang ustaz selepas ini.

“Mungkin sebab saya jenis banyak memendam sebab saya anak nombor dua dari lima beradik. Segalanya berkenaan saya memang saya tak banyak bercerita dengan sesiapa.

“Sebabnya orang banyak berharap pada saya. Dari kecil sampai besar sejak arwah abah meninggal, saya memang bertanggungjawab terhadap keluarga.

“Bila emak cerita apa yang tak cukup, saya akan usahakan sebaik mungkin. Kalau ada terasa hati dengan sesiapa, saya pendam dan buat lagu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top