luqman.arif@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pengendalian kes dan perkhidmatan mahkamah di Semenanjung serta Labuan di mahkamah terbuka secara fizikal kini ditangguhkan, melainkan bagi kes pertuduhan baharu dan permohonan perintah.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) berkata ia adalah selaras dengan arahan Ketua Hakim Negara, bertarikh 20 Mei lalu.
Arahan itu antara lain merangkumi prosiding kes jenayah, sivil, rayuan jenayah dan perkhidmatan kaunter di mahkamah susulan langkah kerajaan mengenakan peraturan tambahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mulai 25 Mei hingga 7 Jun ini.
Katanya, semua penetapan kes hukuman dan perintah turut ditangguhkan, manakala tiada seorang pun dibenarkan hadir ke prosiding di mahkamah terbuka bagi kes yang ditetapkan untuk perbicaraan.
“Kecuali tertuduh dan dua orang ahli keluarga, kawan atau kenalan tertuduh, selain seorang Timbalan Pendakwa Raya atau apa-apa bilangan yang dibenarkan oleh mahkamah.
“Seorang peguam bagi pihak tertuduh atau apa-apa bilangan yang dibenarkan oleh mahkamah juga dibenarkan hadir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi pengendalian kes sivil, PKPMP berkata ia perlu dijalankan hanya menerusi teknologi komunikasi jarak jauh, dengan berpandukan kepada arahan Ketua Hakim Negara Bilangan 1 Tahun 2021, bertarikh 7 Januari 2021.
Sehubungan itu, arahan Ketua Hakim Negara Bilangan 5 Tahun 2021 Mengenai Pengendalian Prosiding Kes Sivil Mahkamah Semasa Tempoh PKP, bertarikh 17 Februari 2021 adalah tidak terpakai.
“Pengendalian prosiding pendengaran rayuan jenayah melalui teknologi komunikasi jarak jauh di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi dijalankan menurut arahan Ketua Hakim Negara Bilangan 6, bertarikh 26 Februari 2021.
“Sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan, pengendalian kes di mahkamah berkaitan bakal berpandukan kepada arahan yang dikeluarkan PKPMP melalui emel bertarikh 17 Mac 2020, 26 Mac 2020 dan 26 April 2020.
“Perkhidmatan kaunter pula tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Am PKP berkuat kuasa Selasa ini yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




