am@hmetro.com.my
Kajang: Serbuan polis terhadap premis memproses dan menyimpan dadah disyaki didalangi sindiket antarabangsa melalui Op Gaharu 2.0 pada 21 Disember lalu turut membongkar kewujudan pusat panggilan penipuan dalam talian dijalankan sindiket sama.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya percaya sindiket didalangi warga Asia Timur berkenaan turut menjalankan kegiatan penipuan dalam talian di negara ini.
Katanya, 14 individu ditahan dipercayai terbabit kegiatan terbabit dalam serbuan berkenaan
“Kita tidak menjangkakan akan turut membongkar kegiatan penipuan dalam serbuan ini. Sindiket dadah ini jelas mengambil kesempatan dengan turut menjalankan sindiket penipuan,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Semenyih, di sini hari ini.
Katanya, semua mereka yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, polis melumpuhkan sindiket dadah antarabangsa yang didalangi warga Asia Timur yang turut merampas dadah seberat 6.2 tan bernilai RM1.04 bilion menerusi serbuan Op Gaharu 2.0 di sekitar Selangor pada 21 Disember lalu.
Serbuan itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman susulan penahanan enam suspek termasuk tiga wanita menerusi Op Gaharu 1.0 pada 16 Disember lalu.
Hussein dilaporkan berkata, serbuan pertama dijalankandi sekitar Taman Industri Selasa Jaya, Seri Kembangan, di sini dengan merampas cecair disyaki dadah Methylenedioxy Methamphetamine (MDMA) seberat 5,983.36 kilogram (kg) dan serbuk putih disyaki dadah jenisMDMA seberat 207.74 kg.
Beliau dilaporkan berkata, ia membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah premis di Taman Perindustrian Kepong dan merampas serbuk disyaki dadah kokain seberat 20.273 kg dan serbuk putih disyaki dadah ketamin dianggarkan seberat 1.252 kg.
© New Straits Times Press (M) Bhd




