COVID-19: Bekas penasihat dakwa PM Britain berbohong

COVID-19: Bekas penasihat dakwa PM Britain berbohong

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, didakwa berbohong berhubung strategi kekebalan kelompok ketika pandemik COVID-19 mula melanda negara itu.

Pendedahan itu itu dibuat bekas Ketua Penasihatnya, Dominic Cummings, menerusi ciapan Twitter mendakwa kerajaan pada mulanya mahu menangani wabak itu seperti demam dan cuba membangunkan kekebalan kelompok secara semula jadi.

“Beliau memutuskan untuk berbohong, keputusan kurang bijak dan etika yang teruk untuk berbohong mengenainya.

“Perancangan rasmi adalah kekebalan kelompok menjelang September 2020 tetapi perkara sebenarnya adalah apa yang Perdana Menteri tahu, pelan asal adalah salah dan diubah apabila kita menyedarinya,” katanya.

Bagaimanapun, semua dakwaan itu dinafikan Johnson.

Tambah Cummings, kerosakan utama berlaku apabila hala tuju strategi kekebalan kelompok diketepikan dua minggu sebelum perintah berkurung pertama dilaksanakan pada Mac 2020.

“Jika kita membuat persiapan rapi, ditambah individu yang berwibawa, kita mungkin mampu mengelak pelaksanaan perintah berkurung kali pertama dan sudah tentu tidak memerlukan perintah berkurung kali kedua atau ketiga,” katanya.

Cummings dijangka mengemukakan bukti kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkaitan kesihatan dan sains pada Rabu ini.

Beliau juga mendakwa memiliki dokumen penting yang bakal mendedahkan cara kerajaan menangani pandemik itu ketika mula melanda Britain pada awal tahun lalu.

Bekas penasihat itu dipecat pada hujung tahun lalu dan baru-baru ini terbabit dalam perang mulut dengan Downing Street selepas beliau dituduh membocorkan dokumen dan perbualan dalaman kepada media.

Beliau memberi amaran akan mendedahkan dokumen penting mengenai pembuat keputusan berhubung COVID-19 kepada jawatankuasa terbabit sebelum tampil di hadapan Ahli Parlimen pada Rabu ini.

Cummings terikat dengan Akta Rahsia Rasmi yang mengekangnya daripada mendedahkan sebarang dokumen sulit. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top