Mudah sangat percaya, pesara rugi RM212,000 jadi mangsa scammer

Mudah sangat percaya, pesara rugi RM212,000 jadi mangsa scammer

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Seorang pesara kerugian RM212,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan perniagaan tidak wujud yang ditawarkan secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, mangsa yang berusia 60 tahun itu membuat laporan semalam mendakwa diperdaya suspek yang menawarkan peluang perniagaan melalui aplikasi WhatsApp sejak 19 Disember lalu.

“Suspek menawarkan penjualan barangan dengan harga murah yang boleh dijual semula kepada pelanggan dengan harga lebih tinggi menerusi aplikasi yang disediakan suspek.

“Antara barangan yang dijual ialah barangan elektrik, komputer dan pakaian. Mangsa tertarik dengan tawaran berkenaan kerana dijanjikan pulangan lumayan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Yusof, mangsa kemudian melakukan beberapa transaksi pemindahan wang ke dalam satu akaun bank bagi tujuan pembelian barangan berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas gagal menghubungi suspek apabila nombor telefon digunakan disekat.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM212,000.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top