'Ops Daulat paling mencabar, masih terkenang mayat dalam lubang besar' – Komando

'Ops Daulat paling mencabar, masih terkenang mayat dalam lubang besar' – Komando

am@hmetro.com.my

Melaka: Di sebalik bunyi tembakan bergema setiap saat, seorang komando tidak mungkin melupakan apa yang dilihatnya di dalam lubang besar dan dilitupi pelepah sawit ketika Ops Daulat di Lahad Datu kira-kira 12 tahun lalu.

Di dalam lubang itu terdapat puluhan mayat penceroboh Sulu yang menurut Skuadron Perahu Khas, Pegawai Waran 1 Muhamad Hafis Ramli, 39, ditemui selepas kawasan pencerobohan berkenaan disahkan selamat dan diserahkan kepada tentera oleh pihak polis.

Menurutnya, berdasarkan keadaan fizikal, mayat-mayat itu dipercayai meninggal dunia antara lima hingga enam hari sebelum ditemui.

“Mayat itu diletakkan dalam satu lubang besar tanpa ditimbus tanah. Ia hanya ditutup dengan pelepah sawit, seolah-olah ditinggalkan begitu sahaja,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Tahun Baharu 2026 dan Jubli Intan ke-60 Rejimen Gerak Khas (GGK) di Encore Melaka, hari ini.

Pemeriksaan lanjut mendapati sebahagian mayat memakai kain putih diikat pada tangan dan leher, selain terdapat tangkal atau azimat dengan tulisan tertentu.

Menurutnya, kain putih dalam konteks peperangan biasanya melambangkan penyerahan diri, namun mereka memakainya atas kepercayaan sendiri untuk mati syahid.

“Ada juga tangkal di leher yang dipercayai mencatat ‘waktu kematian’ mereka.

“Itu adalah kepercayaan kumpulan tersebut, kononnya mayat tidak akan rosak,” jelasnya.

Muhamad Hafis menambah, penggunaan tangkal dan simbol keagamaan dalam kalangan penceroboh Sulu ketika itu dipercayai untuk meningkatkan keyakinan dan keberanian pengikut bertempur, selain sebagai alat psikologi untuk mengukuhkan ketaatan kepada pemimpin mereka.

Ops Daulat mencatat sejarah hitam negara apabila 12 perwira Malaysia gugur, manakala 56 penceroboh terbunuh dan enam orang awam terkorban sepanjang konflik hampir dua bulan.

Pencerobohan bermula pada 11 Februari 2013, apabila kira-kira 235 pengganas Sulu, sebahagiannya bersenjata, mendarat di Kampung Tanduo, Lahad Datu, sebelum operasi keselamatan berskala besar dilancarkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengimbas pengalaman pertempuran, Muhamad Hafis berkata, pasukannya turut berdepan serangan hendap ketika sedang berehat dan makan tengah hari.

“Keadaan kelihatan tenang, tetapi tiba-tiba mereka muncul secara berkumpulan dari dua arah. Satu kumpulan mengalihkan perhatian, manakala satu lagi menyerang dari belakang.

“Mereka bukan lawan mudah, ada pengalaman tempur dan berani bertindak secara terbuka,” katanya.

Muhamad Hafis menyifatkan Ops Daulat sebagai antara operasi paling mencabar sepanjang lebih 21 tahun perkhidmatannya sebagai anggota komando.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top