Gempa lemah Bukit Kepong: Tiada kerosakan dilaporkan

Gempa lemah Bukit Kepong: Tiada kerosakan dilaporkan

am@hmetro.com.my

Muar: Tiada laporan kemalangan jiwa, kecederaan mahu pun kerosakan harta benda diterima susulan gempa bumi lemah berkekuatan 3.4 magnitud direkodkan berlaku di di Bukit Kepong, Pagoh pagi tadi.

Pegawai Daerah Muar Zainal Eran berkata ketika ini, pihak berkuasa keselamatan dan agensi berkaitan sedang menjalankan pemantauan lanjut bagi memastikan orang awam serta kawasan setempat dalam keadaan selamat dan tenteram.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana daerah Muar berkata, berdasarkan laporan awal kejadian ini dirasai di sekitar Bukit Kepong, Bukit Serampang, Lenga serta serta kawasan berhampiran sempadan daerah Tangkak dan Segamat.

“Bagaimanapun, sehingga kenyataan media ini dikeluarkan, kami belum menerima apa-apa laporan berkaitan kerosakan, kecederaan dan sebagainya.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Muar mengambil maklum sebagaimana laporan semasa Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung kejadian gempa bumi lemah berkekuatan 3.4 berlaku di Bukit Kepong, Pagoh 8.55 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, orang awam merasai gegaran boleh menyalurkan maklumat melalui pihak berkuasa atau borang soal selidik yang dikeluarkan oleh MetMalaysia menerusi pautan https://forms.gle/CyUwHQE9LnyuWaJ37.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top