Warisan belum putuskan tanding PRK DUN Lamag, Parlimen Kinabatangan

Warisan belum putuskan tanding PRK DUN Lamag, Parlimen Kinabatangan

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Parti Warisan (Warisan) belum membuat sebarang keputusan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Parlimen Kinabatangan.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sebarang dakwaan atau kenyataan bahawa Warisan sudah membuat keputusan sama ada untuk bertanding atau tidak adalah terlalu awal dan tidak tepat.

“Seperti semua urusan pilihan raya, Warisan akan membuat keputusan melalui perbincangan dalaman dan proses parti yang sewajarnya, dengan mengambil kira kepentingan rakyat Sabah.

“Apabila keputusan dibuat, ia akan diumumkan secara rasmi melalui saluran yang dibenarkan oleh parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Susulan itu, Mohd Shafie meminta agar semua pihak merujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan.

“Sehingga itu, orang ramai dan pihak media dinasihatkan supaya hanya merujuk kepada kenyataan yang disahkan dan dikeluarkan secara rasmi oleh parti,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Januari ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 10 dan 20 Januari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top