syafil.syazwan@hmetro.com.my
Shah Alam : Suasana di PickleX, baru-baru ini, bukan sekadar riuh dengan bunyi pukulan bola, tetapi penuh dengan gelak tawa dan sorakan semangat.
Ia berikutan lebih 40 peserta dan tetamu terdiri daripada pengamal media dan selebriti tanah air berkumpul bagi menjayakan acara sukan yang cukup santai, namun kompetitif.
Program Pickleball With The Stars anjuran Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) ternyata mencapai objektif untuk merapatkan jurang antara pengamal media dan anak seni melalui sukan Pickleball yang kini sedang tular.
Sebanyak 20 pasukan dibentuk menerusi gandingan unik antara 20 wakil media dan 20 artis serta pempengaruh (influencer).
Formasi ini bukan sahaja menguji skil fizikal di tengah gelanggang, malah membina keserasian luar biasa antara mereka yang biasanya hanya bertemu dalam urusan temu bual formal.
Setiausaha WHAM selaku ketua projek, Sudirman Mohd Tahir ketika ditemui melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas kelancaran program sulung seumpama ini.
“Alhamdulillah, acara WHAM Pickleball With The Stars yang diadakan berlangsung dengan jayanya.
“Mewakili WHAM dan semua jawatankuasa, saya merakamkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan media yang menyertai pertandingan selain ahli yang hadir bagi memeriahkan acara,” katanya.
Menurut Sudirman, komitmen yang diberikan oleh rakan-rakan media dan sokongan padu daripada rakan artis menjadi nadi utama kejayaan program ini.
“Pastinya, tanpa komitmen dan kerjasama kalian, acara yang julung-julung kali diadakan ini tidak akan berjaya dan meriah.
“Semoga acara sebegini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama kita. Tanpa prejudis, tapi saling menyokong dan menghargai,” katanya.
Debaran di pentas akhir menyaksikan persaingan sengit, namun rezeki ternyata berpihak kepada wakil portal mStar.
Gandingan mantap antara wartawan mStar, Nazrin Zulkafli bersama pelakon Ezaidi Aziz berjaya mempamerkan aksi cemerlang yang sukar digugat lawan.
Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 berserta pingat kemenangan.
Tidak kurang hebatnya, tempat kedua pula disandang oleh seorang lagi wakil daripada agensi media sama.
Wartawan mStar, Farol Mustafa yang bergandingan dengan pempengaruh, Faizdickie berjaya menduduki kerusi naib juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta pingat.
Bagi tempat ketiga dan keempat menjadi milik wartawan Melodi, Faiq Fahmi Adenan yang bergandingan dengan penyanyi terkenal Haqiem Rusli yang mengatasi saingan Muhammad Izzad Farhan Amier Zaini (Melodi) dan Izzul Faiq.
Masing-masing membawa pulang RM2,000 dan RM1,000 serta pingat.
Sementara itu, bagi kategori Pairing Paling Sporting dimenangi oleh pelakon Trisha Ooi bersama Penolong Pengarang Berita Hiburan Harian Metro, Wan Asrudi Wan Hasan yang membawa pulang hadiah wang tunai RM500 sumbangan Sevoce Studio.
Antara selebriti yang hadir bagi menyertai perlawanan ini ialah Aeril Zafrel, Bella Astillah, Zahiril Adzim, Sheira Ayob, Yasmin Hani dan Ayie Floor 88.
Turut mengambil bahagian ialah Sarah Suhairi, Zizi Kirana, Adam Lee, Afieq Shazwan, Wani Kayrie dan El Azman yang teruja mencuba sukan pickleball buat julung kalinya.
Turut serta menjayakan program itu ialah Fairuz Selamat, Badron Munirah, Luqman Faiz, Hariz Hamdan, Syahir Shafein, Shaffiq Erwin, Nurel Bahrin dan Kim Azzim.
Sudirman berkata, pihaknya menganggap ini adalah titik permulaan untuk WHAM menganjurkan lebih banyak aktiviti luar pejabat yang bermanfaat bagi semua ahli.
“Tahniah kepada semua pemenang pertandingan. Teruskan menyokong WHAM dalam apa jua program yang dianjurkan pada masa akan datang,” katanya. Acara ini diharapkan menjadi penanda aras bagi program akan datang, sekali gus memperkukuhkan peranan WHAM sebagai persatuan yang menjaga kebajikan dan ukhuwah pengamal media hiburan di negara ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




