Jual buah naga mengandungi racun kulat, pasar raya didenda RM7,000

Jual buah naga mengandungi racun kulat, pasar raya didenda RM7,000

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Sebuah pasar raya didenda RM7,000 Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas kesalahan menjual buah naga yang mengandungi racun kulat.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli membuat keputusan itu selepas wakil pasar raya membuat pengakuan bersalah.

Menurut pertuduhan, T & T Sunrise Trading, menjual buah Red Dragon Fruit My Ea yang diperoleh melalui pengedar dan menjualnya di premis Mercato Mayang Mall.

Buah-buahan itu dikesan mengandungi cemaran residu racun kulat Carbendazim mengikut Peraturan 41(3)(c) (Jadual Keenam Belas atau Codex Alimentarus), Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Oleh itu, pasar raya terbabit didapati melakukan kesalahan di mengikut Seksyen 13B(2)(e) Akta Makanan 1983 dan dibaca bersama Seksyen 13B(4), akta yang sama.

Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM7,000 dan tertuduh berdepan sebulan penjara sekiranya berbuat demikian.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Kesihatan, Safiah Akmal Mohd Yusoff dan Abdul Hafiz Mohamed manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Manakala di mahkamah sama, tertuduh Fakhrul Afiq Muhammad Azmi, 29, sebagai pemilik perniagaan The Bos Star Ajil, pada 13 Julai lalu kira-kira lebih jam 4.49 petang di premis berkenaan didapati gagal mempamerkan tanda amaran larangan jualan produk merokok kepada orang yang berumur di bawah 18 tahun di mana melanggar Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dibaca bersama peraturan 7(1) peraturan-peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 10(2)(a)(i) Akta yang sama.

Sabit kesalahan hukuman denda tidak kurang RM20,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 dan sekiranya gagal tertuduh berdepan sebulan penjara.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Kesihatan, Alias Awang kechik manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top