norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Elyana, 38, tidak akan berdiam diri terhadap komen-komen netizen yang disifatkan biadap dan tidak menghormati pada hantaran dimuatnaik di media sosialnya.
Menurut Elyana atau nama sebenar Erneelya Elyana Emrizal dalam hantaran pada InstaStory di Instagram (IG) memaklumkan dia tidak suka mengganggu orang, apatah lagi bersikap biadap kepada orang lain.
“Maaf ya…saya tak kacau orang…dan tak suka biadap dengan orang…mulai dari hari ini saya tidak akan toleransi dengan manusia biadap,” tulisnya pada InstaStory berkenaan.
Melalui hantaran lain pula, Elyana mengakui dia mungkin belum sebaik seperti orang lain, namun kesal apabila mendapati ada individu bersikap terpaling suci hingga sanggup menghina.
“Ya..mungkin aku belum sebaik atau sesuci korang..tapi niat korang tak menghalalkan cara korang yang biadap.
“Aku tahu kat luar sana ramai yang rasa diri terpaling suci, sampai menghina dan jadikan aku bahan ketawa. Tapi hati-hati.. jangan confident (yakin) sangat, sampai makan diri sendiri.
“Aku dah rasa proses hidup yang menyakitkan..takut bila korang kat tempat aku, korang tak boleh hadap nanti.. jadi jaga hati, jaga lidah, jaga jari,” tulisnya.
Dalam hantaran dimuatnaik di InstaStory lagi, Elyana juga menepis dakwaan yang mengaitkannya cuba meraih simpati ramai terhadap penyakit kanser limfoma tahap empat dihidapi sejak 15 tahun lalu.
Katanya, selama menghidapi penyakit kanser, dia adalah pesakit yang boleh membantu orang lain tanpa memikirkan keadaan diri sendiri yang masih sakit juga.
“Alhamdulillah..setakat 15 tahun aku sakit, aku tak nak menyusahkan sesiapa..aku hadap dan tahan seorang diri.
“Dan Alhamdullillah, aku seorang pesakit yang boleh membantu orang lain yang sedang sakit. Bahkan, orang yang sakit pun aku tolong tanpa memikirkan diri sendiri.
“Jadi, aku terkesan bila orang kata ‘nak minta simpati la tu’, simpati celah mana ya?? Mungkin korang belum kenal aku. Dalam hidup aku, paling malu nak minta tolong orang.
“Dari dulu sampai sekarang, semua aku usaha dan buat sendiri. Walaupun kadang-kadang aku rasa tak mampu, tapi mulut aku masih berat untuk menyusahkan orang. Jadi, stop (berhenti) cakap aku minta simpati,” luahnya.
Terdahulu ketika menyertai program Gegar Vaganza (GV) pada 2017, Elyana buat pertama kali mendedahkan dirinya menghidap kanser limfoma tahap empat selepas bertahun-tahun dia menyimpan rahsia itu.
Elyana disahkan menghidap kanser limfoma pada 2010 selepas dia melahirkan anak sulungnya, Cinta Sumayyah, 14.
Namun, kira-kira dua tahun lalu Elyana pernah berkongsi berita gembira apabila disahkan bebas daripada penyakit kanser limfoma berkenaan.
Bagaimanapun pada 14 November lalu, Elyana berkongsi video dimuatnaik di IG bahawa dia kembali semula menjalani rawatan kemoterapi untuk penyakit kanser dan baru-baru ini turut membotakkan kepalanya.
Elyana yang bertemu jodoh dengan ahli perniagaan, Khairul Anuar Husin pada 2010, dikurniakan seorang anak perempuan Cinta Sumayyah dan juga memiliki seorang anak angkat, Cahaya Ramadhani, 6.
© New Straits Times Press (M) Bhd




