am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Gara-gara wang tuntutan insurans dicarum suami, seorang wanita dan teman lelakinya sanggup bersekongkol cuba membunuh lelaki berkenaan.
Namun, tindakan mereka membawa padah apabila ditahan polis sehari selepas kejadian pada 22 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian yang berlaku di Taman Ehsan Jaya di sini, dipercayai ada kaitan dengan wnag tuntutan insurans.
“Dalam kejadian itu, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun cuba dibunuh oleh seorang lelaki dipercayai teman lelaki isterinya dengan menekup muka mangsa menggunakan bantal sehingga mangsa sukar bernafas ketika sedang tidur.
“Siasatan lanjut mendapati isteri mangsa membenarkan teman lelakinya masuk ke dalam rumah semasa mangsa sedang tidur.
“Tidak cukup dengan itu, wanita itu turut memegang kaki mangsa supaya teman lelakinya dapat menekup muka hingga menyebabkan sesak nafas.
“Mangsa bergelut dan berjaya melepaskan diri, manakala suspek iaitu teman lelaki isterinya melarikan diri pada hari kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan juga mendapati dalam tempoh kira-kira seminggu sebelum kejadian, isteri mangsa kerap bertanyakan mengenai jumlah wang dan syarikat insurans yang dicarumkan oleh mangsa.
Mohd Sohaimi berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan untuk membunuh orang dan kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor.
“Arahan untuk menuduh isteri mangsa dan teman lelakinya sudah diperoleh dan mereka akan dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, esok,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




