'Abbe Hae' sentiasa rindu untuk santuni anak lorong dan gelandangan

'Abbe Hae' sentiasa rindu untuk santuni anak lorong dan gelandangan

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tersentuh melihat kedaifan anak lorong yang membesar dalam serba kekurangan menjadi titik tolak kepada Mohd Azhan Mohd Adnan, 57, untuk turun padang membantu golongan gelandangan dan keluarga miskin bandar tanpa mengira latar belakang.

Aktivis Pertubuhan Jejak Jalanan itu yang mesra disapa ‘Abbe Hae’ berkata, pembabitannya bermula secara tidak sengaja selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila isterinya menyuarakan hasrat untuk berinfak setiap Jumaat.

“Pada awalnya, isteri masak dan kami hantar makanan ke masjid untuk jemaah solat Jumaat.

“Tetapi selepas beberapa minggu, kami sedar kebanyakan jemaah ada rumah dan makanan mencukupi.

“Dari situ saya cadangkan masak lebih dan kami sendiri turun cari gelandangan di sekitar Chow Kit untuk beri makanan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Mohd Azhan, usaha kecil itu bermula sekitar 2021 dengan hanya kira-kira 50 pek makanan setiap Jumaat sebelum meningkat kepada 100 pek dan kini mencecah sehingga 300 pek setiap minggu.

Katanya, kegembiraan melihat golongan terbabit menikmati hidangan yang disediakan membuatkan beliau dan isteri terus istiqamah membantu tanpa henti.

“Bila tengok mereka makan dengan berselera, habis satu bekas dan minta tambah, rasa puas dan seronok.

“Sampai rasa rindu nak tunggu hari Jumaat sebab nak masak dan turun beri makan,” katanya.

Selain membantu gelandangan, Mohd Azhan berkata beliau mula mendekati anak-anak lorong dan keluarga miskin bandar di sekitar Lorong Haji Taib dan kawasan sekitar ibu kota selepas mengenali komuniti asnaf di Chow Kit.

“Ada anak-anak kecil yang hidup dalam bilik sempit, kotor dan tidak sesuai didiami.

“Saya tak sanggup tengok keadaan itu, jadi kami bantu bersihkan dan baik pulih beberapa bilik supaya lebih selesa untuk mereka tinggal,” katanya.

Menurutnya, hubungan rapat yang terjalin membuatkan beliau melihat dirinya sebagai ‘ayah’ kepada anak-anak lorong berkenaan, selain memberi nasihat dan sokongan moral kepada ibu bapa mereka.

“Kita nasihat perlahan-lahan, termasuk yang terbabit dengan dadah.

“Kita tak pinggirkan mereka, sebaliknya dekati, beri galakan dan ingatkan supaya dekat dengan Tuhan.

“Kalau daripada 100 orang, dua atau tiga berubah pun sudah Alhamdulillah,” katanya.

Mohd Azhan berkata, aspek pendidikan turut menjadi keutamaan Pertubuhan Jejak Jalanan dengan penekanan kepada adab, solat dan al-Quran sebagai asas pembentukan sahsiah anak-anak lorong.

“Insya-Allah pada 2026, kami rancang buka kelas akademik, komputer dan kemahiran termasuk fotografi.

“Tak semua anak sesuai akademik, tapi mungkin ada bakat dalam kemahiran,” katanya.

Mohd Azhan yang kini menjalankan perniagaan produk kecantikan jenama sendiri selepas bersara berkata, bantuan disalurkan bukan sahaja di Kuala Lumpur, malah meliputi Selangor, Kelantan dan Sabah mengikut kemampuan.

“Kita tak perlu kaya untuk membantu orang. Hidup sederhana pun kita masih boleh berkongsi.

“Jangan hina atau asingkan mereka yang susah atau terlibat dadah, sebaliknya beri sokongan dan galakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top