Polis cedera, papan tanda SJR terpelanting dilanggar warga asing

Polis cedera, papan tanda SJR terpelanting dilanggar warga asing

am@hmetro.com.my

Georgetown: Anggota polis cedera selepas motosikal ditunggang warga asing merempuh papan tanda Sekatan Jalan Raya (SJR) yang terpelanting mengenai kakinya ketika Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah sempena Ambang Tahun Baharu 2026 di Jalan Bukit Gambir, Gelugor awal pagi, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, insiden jam 2.30 pagi itu berlaku apabila motosikal jenis Yamaha ditunggang lelaki berusia 31 tahun terbabit hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah kereta Perodua Myvi yang sedang diperiksa polis di lokasi berkenaan.

“Impak kemalangan menyebabkan motosikal terbabit terlanggar papan tanda SJR sebelum terpelanting dan mengenai kaki kiri seorang anggota polis lelaki berusia 37 tahun yang sedang bertugas.

“Susulan kejadian, penunggang motosikal warga asing dan anggota polis berkenaan mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lee berkata, pemandu kereta Perodua Myvi iaitu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top