Tanpa Salah dan Isak, Liverpool tumpul di Anfield – Arne Slot

Tanpa Salah dan Isak, Liverpool tumpul di Anfield – Arne Slot

Liverpool: Pengurus Liverpool, Arne Slot meluahkan kekecewaan terhadap kegagalan anak buahnya memanfaatkan penguasaan permainan apabila sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Leeds United di Anfield, awal pagi tadi.

Slot mengakui dominasi penguasaan bola tidak membawa sebarang makna tanpa detik istimewa dan kreativiti individu selepas persembahan tumpul juara Liga Perdana Inggeris itu.

Liverpool menguasai hampir 70 peratus permainan, namun ketiadaan tonggak serangan Mohamed Salah dan Alexander Isak jelas memberi kesan apabila barisan depan gagal mencipta peluang berbahaya.

Menurut Slot, pasukannya sering mengawal permainan musim ini, namun berdepan kesukaran apabila berhadapan pasukan yang memilih untuk bertahan secara bertumpu.

“Kami mungkin pasukan yang paling banyak menguasai bola dalam liga musim ini, tetapi penguasaan tidak bermakna jika anda tidak mencipta peluang,” kata Slot.

Beliau menegaskan untuk menembusi pertahanan rapat, pasukan memerlukan kepantasan dan momen individu luar biasa bagi mencipta kelebihan jumlah pemain di kawasan berbahaya.

“Bukan kali pertama musim ini, kami lihat pemain bekerja keras dan mahu menang, tetapi sukar untuk mencari ruang,” katanya lagi.

Keputusan seri itu menyaksikan Liverpool kini mencatat sembilan perlawanan tanpa kalah selepas melalui fasa sukar apabila tewas sembilan kali dalam 12 perlawanan sebelum ini.

Walaupun persembahan masih belum meyakinkan sepenuhnya, satu mata itu membolehkan Liverpool yang berada di tangga keempat liga melebarkan jurang kepada tiga mata di depan Chelsea dan Manchester United dalam perebutan slot Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Sementara itu, Leeds terus menunjukkan peningkatan apabila melanjutkan rekod tanpa kalah kepada enam perlawanan, sekali gus melonjak tujuh mata daripada zon penyingkiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top