nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan menerima ugutan dipercayai daripada sindiket yang terkesan dengan ketegasan polis Kelantan dalam menangani jenayah di negeri itu.
Katanya, ugutan terbabit diterima pada 22 Disember lalu menerusi contengan menggunakan dakwat merah pada dinding Lapang Sasar Polis Kontinjen Kelantan di Gunong, Bachok.
Katanya yang tidak menolak kemungkinan ugutan itu dilakukan oleh sindiket yang terkesan dengan ketegasan polis Kelantan dalam membendung jenayah di negeri ini.
“Kita berjihad buat apa nak takut. Saya tidak menolak kegiatan terbabit dilakukan kerana terasa tercabar dengan tindakan tegas polis dalam memerangi jenayah di negeri ini membabitkan sindiket along dan sebagainya.
“Berpandukan kepada tulisan pada dinding dan ayat yang digunakan, saya tidak menolak ianya dilakukan oleh sindiket serta sudah dirancang lebih awal,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan.
Katanya, polis sedang mengenal pasti pasti dalang sebenar di sebalik kejadian itu.
“Saya harap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini supaya tampil membantu pihak polis,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial hari ini beberapa gambar dengan tulisan berbaur ugutan kepada Ketua Polis Kelantan di Lapang Sasar Polis Kontinjen Kelantan di Gunong.
Antara tulisan yang menggunakan dakwat berwarna merah tertulis ‘Jangan Lari Dato KP’.
© New Straits Times Press (M) Bhd




