Trang, Thailand: Polis giat memburu seorang remaja yang tergamak meragut beg mengandungi dana perubatan milik seorang wanita warga emas di sini, lapor The Thaiger.
Kejadian berani itu berlaku pada siang hari menyebabkan mangsa kehilangan wang yang dikhaskan untuk kos pemulihan pembedahan jantung suaminya.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian berlaku 9.05 pagi di Jalan Trang-Palian, Mukim Ban Khuan.
Suspek lelaki yang memakai baju biru kelasi dan seluar hitam itu dikesan menunggang motosikal Honda Scoopy hitam kelabu tanpa nombor pendaftaran.
Rakaman menunjukkan suspek yang tidak menutup muka menghampiri mangsa, Sudjit, 57, yang menunggang motosikal Honda Wave
Ketika kedua-dua kenderaan bergerak, peragut itu merentap beg galas dari sisi kanan mangsa sebelum memecut dan melarikan diri.
Sudjit yang masih dalam keadaan terkejut membuat laporan di Balai Polis Mueang Trang bersama anak lelakinya bagi membantu siasatan.
Barangan yang dilarikan termasuk dokumen peribadi, telefon bimbit, wang tunai lebih 10,000 Baht (kira-kira RM1,200) dan sebentuk cincin emas seberat dua salung.
Cincin emas berkenaan dianggarkan bernilai 32,000 Baht (kira-kira RM4,100) menjadikan jumlah keseluruhan kerugian hampir 50,000 Baht (kira-kira RM6,400).
Mangsa menceritakan bahawa dia baru sahaja meninggalkan hospital untuk membeli makanan tengah hari sebelum kejadian berlaku.
“Wang dalam beg itu milik suami saya yang baru menjalani pembedahan jantung pada 19 Disember lalu,” katanya sambal menambah dia tidak pernah melihat suspek sebelum ini.
Penduduk tempatan melahirkan kemarahan dan menuntut penangkapan segera memandangkan suspek secara terang-terangan mencabar undang-undang di kawasan yang sibuk.
© New Straits Times Press (M) Bhd




