Tiada belas kasihan untuk Cameroon – Broos

Tiada belas kasihan untuk Cameroon – Broos

Rabat: Ketua jurulatih Afrika Selatan, Hugo Broos, berjanji akan menunjukkan ‘tiada belas kasihan’ kepada Cameroon apabila berdepan bekas pasukannya pada peringkat 16 terakhir Piala Negara-Negara Afrika (Afcon), Isnin ini.

Broos akan mengetuai Bafana Bafana di Stadium Al Medina, Rabat, menentang negara yang pernah dibawanya meraih kejutan muncul juara Afcon di Gabon pada 2017.

“Perlawanan esok pastinya perlawanan istimewa untuk saya. Jika anda menjuarai Afcon bersama sesebuah negara, sebahagian daripada mereka akan kekal di hati anda, tetapi saya tidak boleh berasa belas kasihan kerana saya kini jurulatih Afrika Selatan dan saya mahu memenangi perlawanan ini.

“Mereka pasukan yang sangat baik, pasukan muda, dan mempunyai semangat juang serta mentaliti yang bagus, yang bermakna jika kami anda menewaskan mereka, anda perlu berada pada tahap terbaik,” kata Broos kepada wartawan, hari ini.

Cameroon mengutip tujuh mata daripada sembilan mata maksimum dalam peringkat kumpulan di Maghribi meskipun menghadapi persiapan yang agak meresahkan menjelang kejohanan itu.

Jurulatih, Marc Brys dipecat oleh presiden persekutuan bola sepak dan legenda Indomitable Lions, Samuel Eto’o, hanya beberapa minggu sebelum perlawanan pembukaan mereka, dengan David Pagou dilantik sebagai penggantinya.

“Saya lebih suka berdepan Cameroon di final. Mungkin sekarang terlalu awal.

“Mereka tidak mempunyai banyak masa untuk melakukan persiapan, tetapi jurulatih mereka melakukan kerja yang baik dan bagi kami, perlawanan ini akan menjadi sukar,” kata Broos.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top