Keamanan nadi kejayaan industri pelancongan – PM

Keamanan nadi kejayaan industri pelancongan – PM

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keamanan yang dikecapi Malaysia ketika ini menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan industri pelancongan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun dengan kepelbagaian kaum dan agama, kemakmuran tetap terpelihara dengan semua pihak bersatu sebagai rakyat Malaysia.

“Industri pelancongan itu suatu yang berkembang, tapi ia berjaya kerana negara ini aman, ia berjaya kerana kita lihat di sini semua kaum dan semua negeri (bersama).

“Lalu kita tunjuk budaya dan seni kita dari Perlis sampai ke Sabah kerana kita bangga dan ini mesti kita pertahankan. We are proud Malaysian (kita bangga menjadi rakyat Malaysia), Melayu, Cina, India, ‘Sarawakian’, ‘Sabahan’. We are great nation (kita adalah bangsa yang hebat).

“Dan tidak dilupakan kita juga menghasilkan orang Asia pertama memenangi anugerah di Anugerah Academy atau Oscar (Tan Sri Michelle Yeoh),” katanya berucap melancarkan program ‘I LITE U’ di Bukit Bintang di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta beberapa menteri lain.

Hadir sama Duta Muhibah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Keselamatan Jalan Raya dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Tan Sri Michelle Yeoh serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.

Projek Inovasi Pencahayaan Ke Arah Kelestarian Bandar, ‘I LITE U’ menandakan bermulanya Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

‘I LITE U’ yang merupakan akronim bagi Infrastruktur, Lampu, Inovasi, Teknologi, Eko Mampan ke arah Urbanisasi adalah inisiatif strategik bagi memperindah landskap bandar dan meningkatkan daya tarikan pelancongan global Kuala Lumpur menjelang TMM2026, dengan sasaran 28 juta ketibaan pelancong dan penjanaan RM76 bilion pendapatan negara.

Kerajaan turut menyasarkan model ‘I LITE U’ diperluaskan ke bandar utama lain seperti Ipoh, Georgetown, Melaka dan Johor Bahru bagi mewujudkan persekitaran bandar yang lebih mesra, selamat serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Projek anjuran bersama KPKT, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan sokongan rakan strategik lain mencerminkan kerjasama erat sektor awam serta swasta dalam menjayakan agenda pembangunan bandar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top