London: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta memuji Declan Rice dan menganggap dia antara pemain tengah terbaik dunia selepas mempamerkan aksi cemerlang ketika menang 3-2 ke atas Bournemouth, awal pagi hari ini.
Dua gol Rice pada babak kedua memastikan Arsenal menguasai perlawanan yang sengit selepas Bournemouth terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Evanilson pada minit ke-10 hasil kesilapan pertahanan Gabriel Magalhães.
Namun, Gabriel menebus kesilapannya apabila meledak gol penyamaan enam minit kemudian.
Jaringan jarak jauh Junior Kroupi pada minit ke-76 mencetuskan keresahan penyokong pelawat, namun Arsenal berjaya bertahan untuk mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan enam mata.
Rice menyertai Arsenal dari West Ham pada 2023 dengan yuran perpindahan rekod kelab bernilai £105 juta (RM573 juta) dan sejak itu mengembangkan permainannya sebagai pemain tengah bernombor lapan, selepas sebelum ini lebih berperanan sebagai pemain tengah bertahan.
Ketika ditanya sama ada pemain berusia 26 tahun itu kini berada dalam kelompok pemain tengah terbaik dunia, Arteta berkata:
“Ya, bagi saya. Bagi saya, pemain kami miliki adalah yang terbaik dan Declan sentiasa menambah elemen baharu dalam permainannya, sentiasa meningkatkan peranan dalam pasukan.
“Saya tidak nampak di mana hadnya kerana dia masih boleh memperbaiki banyak aspek dan dia memang mahu terus berkembang. Dia pemain yang sangat penting buat kami.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




