Kenapa tiada yang sedar bakat XONE?

Kenapa tiada yang sedar bakat XONE?

Dalam dunia industri seni hiburan tempatan, bukan semua bakat hebat akan terus diberi ruang yang adil untuk menyerlah. Ada yang terpaksa menunggu lama sebelum benar-benar diberi peluang untuk menonjol, walaupun memiliki keupayaan yang setanding dengan artis arus perdana.

Perkara inilah yang kini menjadi perbualan ramai apabila nama kumpulan duo wanita, XONE, mula diperkatakan sebagai antara bakat yang seakan-akan masih terpinggir.

Bagi Cik Bunga, XONE bukanlah pendatang baharu. Duo ini telah beberapa tahun berada dalam dunia seni, menghasilkan karya sendiri serta membuat persembahan di pelbagai acara, namun nama mereka masih kurang dikenali oleh masyarakat umum.

Keadaan ini menimbulkan persoalan apabila bakat yang dimiliki mereka tidak seiring dengan peluang yang diberikan.

Apa yang menarik perhatian ramai adalah apabila salah seorang anggota XONE terpilih sebagai peserta program pencarian bakat Dewi Remaja tahun lalu.

Sepanjang penyertaan dalam program tersebut, Nelysa Kay tampil menyerlah melalui keperibadian yang positif, keyakinan diri, serta kebolehan berkomunikasi yang baik.

Secara tidak langsung, penyertaan ini telah membuka mata banyak pihak terhadap kewujudan XONE yang sebelum ini kurang diberi perhatian walaupun telah lama berada dalam industri.

Ramai peminat mula menyedari bahawa XONE sebenarnya memiliki asas kukuh daripada segi vokal, disiplin kerja dan kehadiran pentas. Namun, mereka seolah-olah belum diberi platform yang sesuai untuk benar-benar mengetengahkan potensi tersebut kepada khalayak lebih luas.

Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada aspek promosi, strategi pemasaran atau peluang kolaborasi menjadi faktor yang membataskan perkembangan mereka.Dalam industri seni masa kini yang sangat kompetitif, faktor sokongan dan pendedahan memainkan peranan besar dalam menentukan arah kerjaya seseorang artis.

Cik Bunga percaya, tanpa perancangan yang rapi serta promosi yang berterusan, bakat yang baik sekalipun berisiko untuk terus tenggelam. Cik Bunga harap XONE dapat dilihat mempunyai potensi besar untuk berkembang dan diterima sebagai antara duo wanita yang berpengaruh dalam industri muzik tempatan.

Dengan sokongan yang tepat, strategi lebih agresif serta pemilihan karya yang sesuai, duo ini berpeluang mengubah landskap kerjaya mereka dan membuktikan bahawa bakat sebenar tidak seharusnya dibiarkan terpinggir.

Scroll to Top