am@hmetro.com.my
Kinabatangan: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman diumumkan sebagai calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk bertanding di kerusi Parlimen Kinabatangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan.
WARISAN juga mengumumkan Mazliwati Abdul Malek untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Mazliwati sebelum ini pernah bertanding di kerusi Parlimen Kinabatangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun tewas kepada bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Kedua-dua calon itu diumumkan secara rasmi oleh Timbalan Presiden WARISAN, Darell Leiking di sini, hari ini.
PRK kedua-dua kerusi itu yang dijadualkan bermula Sabtu ini dengan hari pengundian pada 24 Januari depan.
Dalam kenyataan, Darell berkata, kedua-dua pemimpin berkenaan dipilih kerana mereka lebih memahami keperluan rakyat di kawasan itu, selain memiliki pengalaman.
Katanya, Mazliwati berpengalaman dan mampu membicarakan isu berkaitan dengan sistem pentadbiran negeri sekali gus membolehkannya menjadi suara lantang untuk mengangkat kepentingan Lamag dalam DUN.
“Saddi pula akan menggunakan pengalamannya selama 12 tahun sebagai wakil rakyat untuk menjadikan Dewan Rakyat sebagai pentas membahaskan hak Sabah di peringkat Persekutuan.
“PRK ini adalah mengenai soal prinsip, kepemimpinan dan hala tuju mana-mana parti yang bakal bertanding.
“Kita tidak pernah berkompromi dengan perjuangan dan kedua-dua calon ini mencerminkan komitmen parti terhadap negeri ini,” katanya.
Darell berkata, keputusan WARISAN untuk menyertai PRK itu dengan berpegang terhadap pendirian teguh perjuangan iaitu setiap kepada prinsip, kekal berpegang misi menyelamatkan Sabah dan menyediakan hala tuju politik yang jelas.
Katanya, WARISAN akan terus komited dengan agenda mempertahankan hak dan autonomi Sabah, memperkukuh ekonomi tempatan dan kesejahteraan rakyat, mengamalkan tadbir urus yang bersih, telus dan berteraskan rakyat serta membina masa depan yang mampan untuk rakyat Sabah.
“Kita berharap pengundi yang layak agar menunaikan tanggungjawab demokrasi mereka demi kepentingan dan masa depan lebih baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



