Polis sita lori langgar kabel elektrik lampu isyarat

Polis sita lori langgar kabel elektrik lampu isyarat

am@hmetro.com.my

Pontian: Polis menyita lori pasir yang dipandu dengan bahagian belakang (bucket) tidak diturunkan hingga melanggar kabel elektrik lampu isyarat di Pekan Nanas di sini, hari ini.

Insiden itu tular di media sosial selepas video dimuat naik oleh pengguna yang melihat kejadian.

Dalam video turut kedengaran suara pengguna jalan raya yang menjerit bagi menyedarkan pemandu mengenai situasi yang berlaku, selain bunyi hon kenderaan.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 2.50 petang membabitkan lori pasir dipandu lelaki tempatan berusia 53 tahun dari arah Pontian ke Pekan Nanas.

Katanya, pemandu mendakwa tidak menyedari ‘bucket’ terangkat dan tanpa sedar melanggar kabel elektrik lampu isyarat.

“Pemandu tidak mengalami kecederaan, gambar rajah kasar di lokasi serta rakaman majikan dan pemandu diambil.

“Saringan air kencing terhadap pemandu didapati keputusan negatif, kenderaan terlibat disita untuk tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top