Mesyuarat tiga jam, Ismail terus berdiam diri

Mesyuarat tiga jam, Ismail terus berdiam diri

KUALA LUMPUR – Selepas hampir tiga jam berunding mengenai kemelut politik Negeri Sembilan, pertemuan antara kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan wakil-wakil parti berakhir sekitar jam 11 malam tadi tanpa sebarang kenyataan rasmi daripada Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Pertemuan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu menyaksikan sebahagian besar pemimpin yang hadir memilih untuk tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media.

Hanya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias tampil memberikan gambaran ringkas mengenai hasil perbincangan.

Mesej utama yang dibawa Jalaluddin ialah pentadbiran Negeri Sembilan perlu terus berjalan dan kepentingan rakyat tidak boleh terjejas akibat kemelut politik yang sedang berlaku.

“Ada pelbagai kaedah boleh kita gunakan. Menteri Besar mempunyai formula tertentu untuk menggerakkan jentera kerajaan negeri supaya agenda bagi memastikan program berkaitan kepentingan rakyat dapat diteruskan,” katanya selepas pertemuan itu.

Bagaimanapun, Jalaluddin tidak memperincikan apakah formula yang dimaksudkan atau bagaimana jentera kerajaan negeri akan digerakkan.

Tiada keputusan rasmi hasil pertemuan kira-kira tiga jam itu diumumkan kepada umum sehingga malam Ahad.

Tiada keputusan rasmi hasil pertemuan kira-kira tiga jam itu diumumkan kepada umum sehingga malam Ahad.

Keadaan itu berlaku selepas pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dibatalkan, sekali gus meninggalkan Menteri Besar sebagai satu-satunya anggota rasmi pentadbiran kerajaan negeri.

Jalaluddin yang juga ADUN Pertang berkata, pertemuan berkenaan membabitkan barisan Exco dan Backbenchers BN serta Perikatan Nasional (PN), termasuk wakil Pas dan Wawasan.

Perkembangan itu berlaku selepas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, membatalkan pelantikan 10 Exco berkuat kuasa 20 September lalu.

Pembatalan itu dibuat selepas mereka didapati melanggar ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar.

Sebelum pertemuan malam tadi, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan beliau akan bertemu 25 ADUN BN bagi menyelaras langkah seterusnya dan membincangkan beberapa pilihan bagi mencari penyelesaian terbaik.

Menurut Ahmad Zahid, sebarang penyelesaian perlu mengambil kira ketetapan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Beliau turut memberikan mandat kepada Ismail untuk mencari penyelesaian, termasuk menghadap Tuanku Muhriz, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin serta pihak lain dalam hierarki adat Negeri Sembilan.

Ismail tiba di WTC kira kira jam 7 malam sebelum menunaikan solat Maghrib dan kemudian menghadiri pertemuan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media selepas mesyuarat.

Malah, terdapat ADUN yang terbabit dilihat meninggalkan lokasi menerusi laluan belakang ketika media masih menunggu perkembangan di bangunan berkenaan.

Sikap berdiam diri hampir keseluruhan pemimpin yang hadir menjadikan hasil sebenar pertemuan itu masih belum jelas kepada umum.

Bagaimanapun, kenyataan Jalaluddin memberikan satu petunjuk utama bahawa tumpuan ketika ini adalah memastikan pentadbiran kerajaan negeri dan urusan berkaitan kepentingan rakyat tidak terhenti.

Ia berlaku sementara penyelesaian politik dan perlembagaan negeri sedang dicari.

Apa yang masih belum dijelaskan ialah mekanisme sebenar yang akan digunakan untuk memastikan pentadbiran terus berfungsi.

Antaranya termasuk kedudukan Exco dan bentuk jentera kerajaan negeri selepas pembatalan pelantikan mereka.

Dengan Ismail diberikan mandat untuk mencari penyelesaian serta institusi adat negeri turut disebut sebagai sebahagian daripada proses berkenaan, langkah seterusnya kini bergantung kepada rundingan yang bakal berlangsung.

Sebarang keputusan juga perlu dibuat berdasarkan kerangka Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Buat masa ini, tiada keputusan rasmi hasil pertemuan kira-kira tiga jam itu diumumkan kepada umum.

Scroll to Top