am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Jenazah penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Syakirah Hanan Mazli, 25, yang maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah kenderaan dipercayai melanggar lampu isyarat merah, selamat dikebumikan pada jam 12.30 tengah malam tadi.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar Kuala Bedah dengan dihadiri hampir 1,000 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara, rakan taulan, penduduk setempat serta rakan universiti yang hadir memberikan penghormatan terakhir.
Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Ibadurrahman Kuala Bekah sebaik tiba dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada jam 11 malam.
Solat jenazah diimamkan bapa arwah, Mazli Yunoh, 51, dan turut disertai Naib Canselor UniSZA, Datuk Dr Fadzli Adam.
Upacara pengebumian berjalan lancar dalam suasana pilu apabila sebahagian yang hadir tidak mampu menahan sebak.
Mazli ketika ditemui meluahkan kesyukuran kerana urusan pengebumian jenazah anaknya dipermudahkan.
“Alhamdulillah, jenazah anak sangat ‘comel’ (elok, baik keadaannya). Kecederaan lebih kepada bahagian dalaman dan hanya sedikit kesan cedera pada muka,” katanya yang juga Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, Besut.
Allahyarham Syakirah Hanan adalah penuntut semester 2 Diploma Pascasiswazah Pendidikan di Fakulti Pengajian Islam Kontemporari UniSZA.
© New Straits Times Press (M) Bhd




