Mesyuarat Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi tumpuan lawatan rasmi PM ke Turkiye

Mesyuarat Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi tumpuan lawatan rasmi PM ke Turkiye

Ankara: Lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye bermula hari ini dengan antara tumpuan utama lawatan itu ialah penganjuran Mesyuarat Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi Malaysia-Turkiye yang diadakan buat julung kalinya.

Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal berkata, mesyuarat yang akan dipengerusikan Anwar bersama Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan itu, merupakan platform utama untuk membincangkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang.

“Pada akhir sesi mesyuarat tersebut, satu kenyataan bersama akan turut dikeluarkan,” katanya pada sidang media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkiye, di sini hari ini.

Sazali berkata mesyuarat berkenaan, merupakan antara kemuncak lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkiye yang diadakan atas jemputan Presiden Erdogan, dan merupakan lawatan rasmi pertama Anwar ke negara itu.

Beliau berkata, sepanjang lawatan tersebut, Perdana Menteri akan menerima sambutan rasmi oleh Presiden Erdogan di Kompleks Presiden, sebelum mengadakan pertemuan empat mata bagi membincangkan perkara strategik dan kritikal melibatkan hubungan Malaysia-Turkiye.

Selain mesyuarat peringkat tertinggi itu, Sazali berkata Perdana Menteri turut akan mempengerusikan mesyuarat meja bulat bersama syarikat-syarikat Turkiye, sebagai usaha meneroka peluang baharu kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara.

“Mesyuarat ini menunjukkan kesungguhan kerajaan MADANI untuk membentuk, meneroka peluang baharu untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan Malaysia-Turkiye.

“Setakat ini sebanyak 40 syarikat Turkiye dijangka menyertai mesyuarat meja bulat tersebut yang merangkumi pelbagai sektor, katanya.

Sazali berkata, Perdana Menteri dijadual menyampaikan syarahan umum bertajuk Power Shift, Strategic Choices for Malaysia and Turkiye kepada golongan profesional, akademik, pegawai kanan Turkiye serta pelajar.

Dalam konteks hubungan ekonomi, beliau berkata nilai perdagangan dua hala Malaysia-Turkiye pada 2024 mencecah US$5.2 bilion, dengan sasaran baharu untuk meningkatkan jumlah itu kepada AS$10 bilion.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mengadakan lawatan rasmi ke Turkiye bermula hari ini hingga 8 Jan, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Anwar turut diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa lawatan rasmi ini.

Perdana Menteri turut diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, serta pegawai kanan kerajaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top