JEDDAH: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (GACA) Arab Saudi mengumumkan kerajaan akan menanggung kos rawatan pengembara dari negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang perlu dirawat di hospital sekiranya disahkan positif COVID-19 ketika menjalani kuarantin sebaik tiba di negara itu.
Kerajaan juga akan menanggung kos rawatan penduduknya, manakala bagi individu yang tiba dengan menggunakan visa pelawat, perbelanjaan bagi rawatan perubatan akan ditanggung oleh syarikat insurans.
Portal berita Saudi Gazette melaporkan semalam, GACA mengeluarkan garis panduan bagi pengembara dalam kategori bukan rakyat Arab Saudi, mereka daripada kumpulan yang dikecualikan dan belum divaksinasi serta individu yang tiba dari negara yang tidak digantung kemasukannya.
Garis panduan itu menjelaskan individu yang disahkan positif COVID-19 perlu menjalani kuarantin di fasiliti pengasingan disediakan dalam tempoh 10 hingga 14 hari dan ketetapan ini terpakai kepada mereka yang tidak memerlukan rawatan lanjut di hospital.
Selain itu, semua syarikat penerbangan diminta mengumumkan menerusi laman web masing-masing bahawa kerajaan Arab Saudi mewajibkan prosedur kuarantin dan insurans perubatan bagi menanggung rawatan COVID-19.
Individu yang ingkar arahan kuarantin, akan dikenakan hukuman denda SR200,000 (RM220,763) atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang secara berulang, hukuman akan digandakan.
Sementara, warga asing yang melakukan kesalahan sama akan dihantar pulang dandilarang kembali ke negara itu.
Katanya, bagi warga asing, mereka diwajibkan mempunyai insurans perubatan yang merangkumi perlindungan bagi pesakit luar, kecemasan, rawatan di hospital dan kemudahan kuarantin.
Bagaimanapun, penduduk Arab Saudi dan warga GCC dikecualikan daripada memiliki perlindungan perubatan insurans.
Garis panduan itu turut memaklumkan, penumpang pesawat yang tidak menepati syarat ditetapkan perlu dihantar pulang dengan kos pengangkutan ditanggung oleh syarikat penerbangan.
Selain itu, penyedia perkhidmatan penerbangan juga bertanggungjawab mengesahkan status kesihatan penumpang dengan memastikan urusan dokumentasi yang lengkap dan diperakui Kementerian Kesihatan sebelum mengeluarkan pas penerbangan.
Dalam perkembangan berkaitan, pengembara juga diwajibkan membawa sijil vaksin COVID-19 yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan negara masing-masing sepanjang berada di Arab Saudi. -AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




