am@hmetro.com.my
Putrajaya: Usaha mengembalikan aset lukisan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini menjadi fokus Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tumpuan utama kepada wang hasil transaksi aset terbabit.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata, penyiasatan sudah dijalankan bersama pihak berkuasa di Amerika Syarikat (AS) termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).
“Menerusi permohonan kami, melibatkan Mutual Legal Assistance (MLA), kita sebut dalam media adalah untuk membawa balik lukisan. Tetapi yang penting di sini ialah transaksi wang yang telah berlaku.
“Kalau secara fizikal, ya, kita boleh bawa balik. Tetapi sebenarnya, lukisan itu tidak bergerak ke mana-mana pun,” katanya kepada Harian Metro ketika kunjungan rasmi di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Azam berkata, isu lukisan hanya timbul kerana ia menjadi tajuk berita, tetapi perkara sebenar adalah transaksi wang membabitkan aset itu.
“Lukisan itu jadi tajuk utama, tetapi isu sebenar ialah transaksi wang, bukan lukisan itu sendiri.
“Bila kita cakap pasal lukisan itu, sebenarnya ia melibatkan isu pencucian wang (money laundering) menggunakan satu bahan untuk membuat transaksi,” katanya.
Katanya, perbincangan sudah diadakan bagi memastikan wang dan aset boleh dipulangkan ke Malaysia mengikut prosedur sah.
“Perbincangan telah diadakan tentang cara membawa lukisan itu dengan nilainya balik ke Malaysia,” katanya.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, usaha pemulihan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus diperkukuh apabila DOJ bersetuju untuk mengembalikan koleksi lukisan bernilai lebih AS$30 juta (lebih RM122 juta) kepada Malaysia.
SPRM dilaporkan berkata, perkara itu dipersetujui hasil dua siri perbincangan rasmi pihaknya bersama Biro Penyiasatan FBI dan DOJ yang berlangsung di Washington dan New York pada 9 dan 11 Disember lalu.
Katanya, antara perkara utama yang dibincangkan adalah berkaitan pemulihan aset 1MDB melibatkan usaha mengembalikan lukisan bernilai tinggi yang dibeli Jasmine Loo dan kini berada di bawah kawalan DOJ.
“Dianggarkan 12 lukisan milik Jasmine Loo yang dipegang oleh firma Christie’s dan Sotheby’s Auction House, AS antaranya Pablo Picaso (1961), L’Ecuyere et les clowns; Joan Miró,(1953) Composition; William H Bailey (b.1930), Still Life; Alexander Calder (1898-1976), Studies for Sculpture; dan Henri Matisse (1869-1954), Femme Assise yang kesemuanya bernilai melebihi AS$30 juta,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




