redzuan.muharam@hmetro.com.my
Baling: “Saya tak pernah layan mereka macam anak tiri kerana sudah lama tinggal bersama jadi anggap macam darah daging sendiri.”
Begitu kata Muhammad Shahrul Fahmi Muda, 33, mengenai kisahnya yang mempunyai lima anak dengan tiga daripadanya zuriat isterinya hasil perkahwinan dengan bekas suami.
Meskipun begitu, Muhammad Shahrul cuba menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya termasuk dalam menjaga kebajikan anak tirinya termasuk hal persekolahan.
Bercerita lanjut, Muhammad Shahrul Fahmi berkata, dia berkahwin dengan isterinya, Nur Yasya Shahimi, 27, hampir enam tahun lalu dan tahu status wanita itu sebagai ibu tunggal yang mempunyai tiga anak sejak awal perkenalan lagi.
“Tapi saya tak kisah dan terima saja, keluarga pun sama. Masa kenal dengan isteri, anaknya yang bongsu berusia lapan bulan dan itu yang paling rapat dengan saya… sekarang pun usianya sudah tujuh tahun.
“Cuma jujurnya, agak susah juga untuk biasakan diri pada awal perkahwinan dan dugaannya bila mula dapat anak sendiri kerana kurang masa beri perhatian kepada anak tiri. Biasalah, saya pun manusia biasa tapi lama kelamaan dapat biasakan tanpa bezakan anak kandung mahupun tiri,” katanya kepada Harian Metro.
Muhammad Shahrul Fahmi berkata, setiap kali ada waktu terluang, dia akan membawa anak dengan isteri berjalan supaya mereka sekeluarga ada masa bersama.
“Itu cara saya dan kalau pergi berjalan, tak ada terkecuali kerana akan bawa semua bersama.
“Sama juga kalau beli sesuatu, semua anak akan dapat yang sama dan sebagai ayah, saya nak kesemuanya berjaya,” katanya.
Berhubung kisahnya yang mendapat pujian dan perhatian di laman sosial kerana menemani anak tirinya ke sekolah, Muhammad Shahrul Fahmi berkata, dia sekadar membantu memudahkan urusan isteri.
Katanya, ia kerana isterinya perlu menguruskan pendaftaran anak lain semalam.
“Saya tak sedar isteri ambil gambar dan rakam video kerana waktu itu dalam kelas bantu anak ketiga yang masuk Tahun Satu.
“Syukur dan terima kasih kepada mereka yang beri kata positif selepas melihat perkongsian itu. Saya tak boleh kata saya bapa tiri baik tapi cuba buat buat yang terbaik untuk mereka,” katanya yang bertugas sebagai anggota di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ipoh, Perak.
Sementara itu, isterinya, Nur Yasya berkata, dia bersyukur kerana dikurniakan suami yang boleh menerima dan melayan anaknya seperti zuriat sendiri.
Disebabkan itu juga, Nur Yasya menerima lamaran suaminya dan terbuka hati berkahwin lagi selepas berpisah pada 2019.
“Sebagai isteri, saya terharu melihat layanan suami terhadap anak malah dia beri kasih sayang sama rata dengan anak kandung dan tak pernah membezakan mereka.
“Anak pun lebih rapat dengan suami kerana bila balik kerja, mereka akan pergi dekat suami.
“Saya harap anak saya akan hargai pengorbanan suami walaupun dia bukan bapa kandung. Mengenai video di TikTok itu, saya saja rakam kenangan anak masuk Tahun Satu, tak sangka dapat perhatian hingga ramai beri komen positif dan kata saya bertuah dapat suami begitu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



