Perancis kerah kapal pengangkut pesawat untuk misi Hormuz

Perancis kerah kapal pengangkut pesawat untuk misi Hormuz
Perancis kerah kapal pengangkut pesawat untuk misi Hormuz

Perancis menggerakkan kapal pengangkut pesawat Charles de Gaulle dan kapal perang pengiringnya lebih hampir ke Selat Hormuz sebagai persediaan bagi misi maritim berkecuali.

PARIS – Perancis menggerakkan kapal pengangkut pesawat Charles de Gaulle dan kapal perang pengiringnya lebih hampir ke Selat Hormuz sebagai persediaan bagi misi maritim berkecuali, menurut Kementerian Pertahanan pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan bahawa armada berkenaan telah melalui Terusan Suez dan sedang menuju ke selatan Laut Merah.

Pengerahan itu bertujuan memendekkan masa tindak balas bagi misi tentera laut pelbagai negara yang sedang disediakan di bawah kepimpinan Perancis dan United Kingdom, yang dijangka bermula selepas permusuhan di rantau itu berakhir.

Misi pelbagai negara itu bertujuan mengiringi dan melindungi kapal dagang ketika melalui selat berkenaan.

Lebih 40 negara telah menyatakan sokongan.

Jerman pula mengerahkan kapal “minehunter” Fulda ke arah Mediterranean.

Kementerian Pertahanan Perancis berkata, pergerakan kumpulan kapal pengangkut pesawat itu akan menyokong tinjauan operasi dan persediaan misi, selain membantu meyakinkan pengendali perkapalan komersial.

Kementerian itu menambah, pengerahan berkenaan boleh menyediakan pilihan tambahan untuk meredakan krisis dan memperkukuh keselamatan di rantau itu.

Paris menegaskan bahawa pengerahan semula aset tentera lautnya tidak dikaitkan dengan konfrontasi ketenteraan yang sedang berlaku melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran. – Bernama/dpa

Scroll to Top