Real Madrid tewaskan Atletico, layak ke final Clasico Piala Super Sepanyol

Real Madrid tewaskan Atletico, layak ke final Clasico Piala Super Sepanyol

Jeddah: Real Madrid mara ke final Piala Super Sepanyol selepas menewaskan Atletico Madrid 2-1 dalam separuh akhir yang sengit di Jeddah, Arab Saudi, awal pagi tadi, sekali gus bakal berdepan musuh tradisi, Barcelona, Ahad ini.

Gol awal daripada Fede Valverde menerusi sepakan percuma deras dan jaringan Rodrygo Goes membolehkan Los Blancos meraih kemenangan kelima berturut-turut dalam semua kejohanan. Alexander Sorloth menjaringkan gol tunggal Atletico, namun usaha skuad Diego Simeone tidak cukup untuk menyaingi Madrid.

Jurulatih Xabi Alonso, yang pernah berada di ambang pemecatan akibat prestasi tidak konsisten akhir 2025, kini mula melihat pasukannya kembali ke landasan kemenangan walaupun beberapa aksi masih belum meyakinkan sepenuhnya.

“Selepas terlalu lama tidak menjaringkan gol, perlawanan hari ini adalah peluang baik untuk kembali membantu pasukan menang,” kata Valverde selepas menjaringkan gol pertamanya musim ini.

Alonso pula menekankan kepentingan taktikal: “Ini separuh akhir, menjaringkan gol awal memberikan kelebihan yang perlu dipertahankan. Objektif utama adalah mara ke final dan kami gembira dapat bermain pada Ahad.”

Dengan Kylian Mbappe dalam proses pulih daripada kecederaan lutut, Alonso mengekalkan penyerang muda Gonzalo Garcia di posisi tengah serangan selepas hatriknya menentang Real Betis pada Ahad lalu.

Madrid mendahului awal perlawanan apabila Valverde menjaringkan gol pada minit kedua hasil sepakan percuma deras melewati tembok pemain Atletico dan penjaga gol Jan Oblak. Rodrygo kemudian menambah gol kedua pada minit ke-55, sebelum Sorloth membalas bagi Atletico tiga minit kemudian.

Jurulatih Atletico, Simeone, memuji gol Valverde tetapi mengakui pasukannya gagal menumpaskan lawan.

“Gol Valverde hebat, sepakan percuma luar biasa. Pasukan saya bermain dengan baik, tapi kami gagal menang, mereka lebih berkualiti menyiapkan peluang,” katanya.

Madrid kini bersedia menentang Barcelona yang mara ke final selepas membelasah Athletic Bilbao 5-0 dalam aksi separuh akhir pertama. Final dijadual berlangsung di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah, Ahad ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top