PDRM pantau program Glamping With Pride – Exco Selangor

PDRM pantau program Glamping With Pride – Exco Selangor

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah melakukan pemantauan, siasatan dan penguatkuasaan sekiranya berlaku sebarang elemen pelanggaran undang-undang dalam penganjuran program ‘Glamping With Pride’ dijangka 17 hingga 18 Januari di Hulu Langat.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, PDRM mempunyai bidang kuasa yang luas bagi mengekang dan menyelesaikan sebarang pelanggaran undang-undang terhadap penganjuran program berkenaan.

“Dalam (penganjuran) program itu, yang dimaklumkan tidaklah kata pesta tukar pakaian ke, pesta tak tentu hala (sebaliknya) katanya ‘nature’ (alam semula jadi).

“Jadi kita kena pastikan dia menepati apa yang dikata,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Semalam, Pemuda PAS Selangor membantah penganjuran program ‘Glamping With Pride’, selain menggerakkan ahlinya membuat laporan polis terhadap acara berkenaan serta turut menggesa pihak berkuasa menyiasat.

Bagaimanapun dilaporkan, sebuah kumpulan pro golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) hari ini menyatakan mereka akan meneruskan program ‘Glamping With Pride’ di Hulu Langat hujung minggu depan walaupun mendapat bantahan.

Kumpulan dikenali sebagai Jejaka itu menegaskan program selama dua hari itu adalah ‘retreat’ berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya, dan kesedaran kesihatan.

Kumpulan itu turut menegaskan bahawa aktiviti sebegitu tidak melanggar undang-undang negara.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Korporat dan Pembangunan Masyarakat Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Kamarul Izlan Sulaiman berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan penganjuran program berkenaan di Hulu Langat.

“MPKj tidak menerima sebarang permohonan (penganjuran program) dan MPKj juga secara dasar tidak menyokong serta meluluskan acara tersebut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top