'Jika saya berundur, itu proses semula jadi' – Abang Johari

'Jika saya berundur, itu proses semula jadi' – Abang Johari

am@hmetro.com.my

MUKAH: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, menyifatkan pengunduran beliau daripada kepimpinan apabila tiba masanya kelak adalah sesuatu yang semula jadi.

Beliau berkata, faktor usia dan kesihatan akan menjadi antara pertimbangan utama beliau memutuskan perkara itu.

Pada masa sama beliau menekankan kepentingan menyediakan barisan pelapis yang mempunyai latihan dan pengalaman bagi memastikan pembangunan serta pentadbiran Sarawak terus dilaksanakan secara berpasukan.

“Saya memang ada menyebut perkara itu (berundur selepas 2030) di Miri.

“Itu proses biasa kerana memang kita akan berundur apabila sampai masa kerana usia kita sentiasa bergerak ke hadapan, bukan ke belakang,” katanya ketika ditemui selepas majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Mukah, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, kepimpinan negeri perlu dibangunkan secara berpasukan dengan setiap pemimpin memainkan peranan masing-masing, termasuk menyediakan pengganti yang terlatih.

“Saya dengan Datuk Douglas Uggah (Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas), sudah lama dilatih (sebelum memimpin kerajaan Sarawak).

“Kena ada usaha bersama sebagai satu pasukan dalam memastikan pembangunan negeri, jadi kita mesti latih pelapis dan kena ada pasukan,” katanya.

Menggunakan analogi bola sepak, beliau berkata sesebuah pasukan memerlukan pemain dengan peranan berbeza serta seorang kapten untuk memimpin pasukan mencapai matlamat ditetapkan.

Ketika ditanya sama ada beliau boleh mempertimbangkan untuk kekal selepas 2030 selepas ramai yang mahukannya, Abang Johari berkata usia dan kesihatan adalah perkara penting yang perlu diambil kira.

Pada program di Miri 13 September lalu, Abang Johari memberi bayangan PRN akan datang mungkin menjadi pilihan raya terakhir yang disertainya apabila beliau menjangkau usia 80 tahun pada 2030.

From: hayati

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top