sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Aksi pusingan pertama Piala Malaysia antara PDRM FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT), 18 Januari ini yang pada asalnya dijadual berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang ditukarkan ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Pindaan itu dimohon oleh PDRM FC disebabkan venue asal tidak dapat digunakan pada tarikh berkenaan kerana ada acara lain serta mengambil kira pengurusan logistik kelab terbabit.
Pengurus pasukan PDRM, Mohd Shamshul Hisham Abd Razak menjelaskan pertukaran venue itu akan mengurangkan kos yang ditanggung kelab terbabit kerana skuad The Cops boleh terus ke Johor selepas berdepan Melaka FC dalam aksi Liga Super di gelanggang lawan, Rabu ini.
“Pertama, sebab kami minta tukar ke SSI sebab 14 Januari (Rabu ini) kami menentang Melaka. Jadi, pihak pengurusan ambil pendekatan kita tak nak membabitkan kos yang tinggi jika kami patah balik bermain di Kuala Lumpur.
“Kami terus ke Johor untuk perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia. Kami sudah mohon dengan pihak JDT untuk bermain di SSI dan pihak JDT menerima permohonan kami.
“Pertama kami dapat kurangkan kos pengurusan dan yang keduanya kami dalam proses struktur semula pengurusan. Terima kasih kepada pihak JDT kerana menerima permohonan kami untuk bermain di sana,” katanya.
Selain itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) turut mengumumkan perubahan tarikh aksi Piala Malaysia antara Sabah dan Melaka di Stadium Likas yang pada awalnya dijadual berlangsung pada 25 Januari ditukarkan kepada 22 Januari.
Pindaan tarikh itu dimohon oleh Sabah FC disebabkan venue berkenaan tidak dapat digunakan pada tarikh itu kerana berlangsungnya Kejohanan Olahraga Ke-5 Tuaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




