am@hmetro.com.my
Pekan: Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Coway-Misi Bantuan Banjir memulakan agihan prihatin di Pahang dengan memilih Taman Pelangkah, di sini sebagai lokasi pertama.
Sebanyak 700 kotak rezeki akan diagihkan kepada mangsa yang terjejas banjir bulan lalu, membabitkan penduduk Taman Pelangkah serta tujuh kampung tradisional antaranya Kampung Temai, Kampung Permatang Nangka, Kampung Lepar Baru Tanah Putih, Kampung Kelat Rendang, Kampung Lamir dan Kampung Pahang Tua.
Penduduk masing-masing akan menerima dua kotak rezeki berupa barangan makanan dan bahan cucian, sekali gus diharap dapat meringankan beban mereka.
Persiapan program yang berlangsung semalam berjalan lancar dengan kerjasama dan sokongan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pekan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Keladi dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pekan selain bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Majlis penyerahan pada pagi ini (Ahad) dijangka disempurnakan oleh Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad dan Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Ab Aziz dan Pegawai JKM Pekan, Norbaizura Abdul Latiff.
Pengerusi JPKK Kampung Pulau Keladi, Ahmad Mustaqim Ab Wahab yang ditemui menzahirkan penghargaan atas sumbangan itu dan menghargai Harian Metro dan Coway yang memilih Taman Pelangkah sebagai lokasi pertama bantuan.
“Saya berharap lebih banyak lagi pihak swasta tampil menghulur bantuan kepada mangsa banjir di daerah ini,” katanya.
Selepas ini TKHM Bersama Coway-Misi Bantuan Banjir akan singgah di Kuantan pada 13 Januari sebelum ke Terengganu dan Kelantan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
