Gangguan teknikal sistem eGate di CIQ BSI terkawal

Gangguan teknikal sistem eGate di CIQ BSI terkawal

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Gangguan teknikal yang berlaku pada sistem eGate di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, hari ini hanya membabitkan pemegang pasport asing.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) BSI berkata, warganegara Malaysia masih boleh menggunakan sistem eGate seperti biasa tanpa sebarang masalah.

Menurutnya, bagi pemegang pasport asing, bantuan dan panduan akan diberikan untuk menggunakan eGate di lokasi tertentu iaitu di dewan bas masuk (eGate 19, 20, 21 dan 22) dan dewan bas keluar (eGate 5, 6, 7 dan 8)

“Buat masa ini, keadaan di semua zon adalah terkawal dan pergerakan pengembara berjalan dengan lancar.

“Pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama AKPS sedang giat menjalankan tindakan pembaikan serta pemantauan bagi menangani isu ini,” kata AKPS dalam kenyataan.

AKPS BSI memaklumkan, sebagai langkah mengurangkan kesesakan, pelawat asing dinasihatkan supaya memuat turun aplikasi MyNiise bagi menggunakan kaunter QR serta kaunter manual yang telah disediakan.

Pada masa sama, AKPS BSI mengingatkan supaya sentiasa memastikan dokumen perjalanan teratur dan masih dalam sah laku sebelum memasuki kaunter pemeriksaan imigresen.

“Kemukakan visa bagi negara yang memerlukan visa serta tambah nilai kad Touch ‘N Go dan pastikan baki kad mencukupi sebelum tiba di BSI.

“Adalah diwajibkan menyemak status kelayakan di portal Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) dan mengisi butiran perjalanan sebelum tiba di BSI,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan kira-kira 10,000 warga asing terperangkap dalam barisan panjang di dua pintu masuk darat Johor-Singapura berikutan gangguan teknikal, hari ini.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilapor menafikan dakwaan itu dengan mengatakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan keadaan di kedua-dua CIQ terkawal.

Beliau mengakui gangguan teknikal berlaku terhadap sistem eGate, namun ia tidak melumpuhkan pergerakan sempadan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top