ADUN Dusun Tua gesa pengusaha chalet, resort tidak buka pintu terhadap 'Glamping With Pride'

ADUN Dusun Tua gesa pengusaha chalet, resort tidak buka pintu terhadap 'Glamping With Pride'

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengusaha chalet dan resort di Dusun Tua mahupun Hulu Langat digesa untuk tidak membuka pintu kepada penganjuran program ‘Glamping With Pride’ yang dikaitkan dengan unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz berkata, ini kerana penganjuran itu bertentangan dengan ajaran Islam, nilai moral dan norma masyarakat.

Katanya, pengusaha chalet dan resort di Dusun Tua atau Hulu Langat seharusnya membatalkan serta-merta sebarang penglibatan berkaitan.

“Saya ingin menyatakan pendirian tegas berhubung penganjuran program yang dikaitkan dengan unsur LGBT yang dimaklumkan akan diadakan di kawasan Dusun Tua atau Hulu Langat.

“Penganjuran program seumpama ini mencetuskan keresahan serta mengundang kemarahan masyarakat.

“Sebarang usaha mempromosikannya secara terbuka merupakan satu bentuk provokasi sosial yang boleh menggugat keharmonian awam dan sensitiviti penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Semalam, sebuah kumpulan pro LGBTQ menyatakan mereka akan meneruskan program ‘Glamping With Pride’ di Hulu Langat hujung minggu depan walaupun mendapat bantahan.

Kumpulan dikenali sebagai Jejaka itu menegaskan program selama dua hari itu adalah ‘retreat’ berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya, dan kesedaran kesihatan.

Hari ini, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dilapor memaklumkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan membabitkan iklan program ‘Glamping With Pride’.

Mengulas lanjut, Johan menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu yang menyentuh akidah, moral dan keharmonian masyarakat setempat.

“Dusun Tua bukan pusat kegiatan maksiat dan tidak akan menjadi tempat kepada agenda yang dimurkai oleh Allah SWT,” katanya.


Berita Berkaitan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top