Brisbane: Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka, mempamerkan dominasi mutlak apabila mempertahankan kejuaraan Antarabangsa Brisbane selepas menewaskan Marta Kostyuk 6-4, 6-3 pada aksi final, hari ini.
Kemenangan straight set itu menyaksikan juara Terbuka Amerika Syarikat berkenaan menamatkan kejohanan tanpa kehilangan sebarang set, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa dia bersedia untuk memburu semula gelaran Terbuka Australia bulan ini.
Marta sebelum ini menyingkirkan beberapa pemain kelompok 10 terbaik dunia termasuk Jessica Pegula, Mirra Andreeva dan Amanda Anisimova, namun gagal menandingi kekuatan dan ketepatan pukulan Aryna.
Aryna bermula cemerlang dengan mendahului 3-0 pada set pertama sebelum sedikit bergelut akibat servis pertama yang tidak konsisten, namun segera mengawal keadaan untuk menutup set itu dan sekali lagi mendahului 3-0 pada set kedua.
Pemain ranking ke-26 dunia itu cuba bertahan, namun tekanan berterusan memaksa Marta mengalah apabila Aryna menyempurnakan mata kejuaraan pertamanya untuk merangkul gelaran WTA ke-22 dalam karier.
Aryna kini mensasarkan gelaran Terbuka Australia ketiga dan kejuaraan Grand Slam kelima apabila kejohanan itu membuka tirai pada 18 Januari.
© New Straits Times Press (M) Bhd




